Satu jawatan kuasa khas telah dibentuk bagi mengkaji undang-undang baharu bagi membendung berita palsu yang boleh mengancam kestabilan politik, menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan akhbar hari ini menyatakan “adalah wajar bagi kerajaan untuk meneliti sama ada peruntukan sedia ada untuk menangani ancaman baharu yang bukan sahaja diterbitkan dalam bentuk cetakan dan penyiaran, malah juga dalam platform media dalam talian.”

Malaysia sehingga hari ini hanya mengguna pakai Seksen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang diperkenalkan sejak 30 tahun lalu.

Sehubungan itu kata beliau, kerajaan merasakan perlunya ada langkah-langkah baharu untuk menangani masalah penularan berita palsu agar orang ramai lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan, menyebarkan dan berkongsi berita yang tidak sahih.

Tambahnya, jawatankuasa tersebut telah bermensyuarat buat kali pertamanya pada minggu lalu dan turut dihadiri oleh wakil daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Majlis Keselamatan Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Jawatankuasa khas ini akan mengkaji peruntukan dalam undang-undang baharu untuk dibawa ke pertimbangan kabinet.