Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas dalam usaha mengawal selia isu penggunaan vape dan rokok elektronik (e-cigarette).

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat pasca kabinet pada Rabu dan kementeriannya sudah bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa khas itu yang diketuai timbalannya, Dr Lee Boon Chye.

Jelas Dr Dzulkefly, butiran lanjut mengenai perkara tersebut belum boleh didedahkan lagi, namun ia sememangnya membabitkan kawalan penggunaan alat tersebut.

“Berkenaan isu vape dan e-cigarette, semalam kami sudah bermesyuarat dan menubuhkan sebuah jawatankuasa dalaman KKM di mana jawatankuasa petugas khas itu dipimpin oleh timbalan saya, Yang Berhormat Lee Boon Chye.

“Kami juga ingin menegaskan bahawa kementerian kesihatan turut serius mengangani isu e-cigarrate dan vape ini secara serius dan ini sudah pun kami putuskan semalam dalam mesyuarat pasca Kabinet,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Kesedaran Persekitaran Bebas Amalan Merokok sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2019 di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada Khamis.

Pada masa sama, beliau turut menyatakan usaha untuk mengelakkan orang ramai tidak merokok di tempat awam menunjukkan perkembangan positif kerana masyarakat mula memahami dan menghormati larangan itu.

“Tempoh penguatkuasaan pendidikan isu rokok ini sangat penting kerana mereka akan memahami dan menghormati orang lain yang tidak merokok.

“Walaupun mereka masih merokok mereka mematuhi larangan itu dan menghormati hak orang lain yang tidak merokok dan tidak boleh didedahkan dengan asap rokok seperti wanita hamil dan kanak-kanak,” katanya.

Malah, jelasnya, sehingga Mei lalu, daripada 103,916 premis yang diperiksa, hanya 24,784 premis yang tidak mempunyai tanda larangan merokok.