Jawatankuasa khas pantau pengurusan kilang berasaskan kimia

Jawatankuasa khas pantau pengurusan kilang berasaskan kimia
Penguatkuasaan yang ketat amat perlu untuk memastikan kilang-kilang terlibat mengikut peraturan yang dibenarkan. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Jawatankuasa pemantau yang dijangka ditubuhkan tidak lama lagi berikutan kes pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, lebih dua minggu lepas, akan berperanan mengawasi pengurusan kilang-kilang berasaskan kimia di Pasir Gudang.

Pengerusi Jawatankuasa Saintifik Profesor Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff berkata pemantauan terhadap kegiatan kilang yang beroperasi adalah perlu bagi mengelakkan kejadian pencemaran di Sungai Kim Kim daripada berulang lagi.

"Saya rasa itu (jawatankuasa) amat penting kerana selama ini kita hanya ada (Jabatan Alam Sekitar), kita minta data daripada mereka tetapi kali ini kita harus kuat kuasakan lagi.
"Kita harus lihat betul atau tidak sebagai contoh, proses itu dilakukan di kilang, kalau bahan itu diproses, apa dia punya sisa dan bagaimana mereka uruskan sisa tersebut, kita kena tengok perkara-perkara ini," kata beliau yang juga Dekan Fakulti Sains di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Seminar Bencana Pasir Gudang: Kronologi dan Peranan Kita di Fakulti Sains UTM, di Skudai, di sini pada Selasa.

Turut hadir dalam seminar itu ialah Pengarah Unit Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UTM iaitu Prof Madya Dr Jafariah Jaafar serta pensyarah kanan fakulti tersebut iaitu Dr Faizuan Abdullah.

Dalam pada itu, beliau berkata penguatkuasaan yang ketat amat perlu untuk memastikan kilang-kilang terlibat mengikut peraturan yang dibenarkan.

"Penguatkuasaan seperti pemantauan secara berkala dan ketat perlu dibuat sebab kawasan industri Pasir Gudang amat rapat dengan kawasan perumahan, tidak seperti di Pengerang yang ada buffer zone (zone penampan) dan sebagainya.

"Kita kena pastikan tidak berlaku kes kebocoran gas atau gas meletup seperti di China dan sebab itu perlu ada prosedur operasi standard (SOP) sebelum ia berlaku," katanya lagi.

-- BERNAMA