Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diminta menumpukan kepada perkara lain selain meneruskan tindakan terhadap pengurus kedai milik Berjaya Books, Nik Raina Nik Abdul Aziz yang didakwa atas kesalahan menyebar dan mengedar buku kontroversi karya Irshad Manji.

Pengamal undang-undang Syahredzan Johan berkata, banyak lagi perkara lebih penting yang boleh dibuat Jawi daripada meneruskan tindakan ke atas seorang wanita Muslim yang tidak bersalah.

"Cukuplah. Banyak lagi perkara yang lebih penting yang Jawi boleh buat. Apa yang Jawi cuba buktikan sebenarnya?

"Semuanya atas dasar apa? Serbuan Jawi ke kedai buku Borders pada tahun 2012 dibuat sebelum Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku Irshad Manji. Nik Raina pula hanya didakwa kerana beliau ialah seorang Muslim dan Jawi tidak punya bidang kuasa untuk mendakwa Borders sendiri.

"Nik Raina dijadikan mangsa hanya kerana beliau seorang Muslim yang berkerja dengan Borders," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Syahredzan mengulas tindakan Jawi yang merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur yang telah melepaskan Nik Raina.

Nik Raina ditahan pada 30 Mei 2012 dan didakwa di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 kerana ‘menyebar dan mengedar’ dengan kaedah menjual buku berjudul "Allah, Liberty and Love" (Allah, Kebebasan dan Cinta) yang kandungannya bertentangan dengan undang-undang Islam.

Dia didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah pada 19 Jun 2012, dan pada 22 Mac tahun lalu Mahkamah Tinggi membuka peluang perbicaraan semula kepada Berjaya Books.

Bagaimanapun, pada 30 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan membuat keputusan bahawa serbuan dan rampasan buku Irshad Manji oleh Jawi di kedai buku Borders tidak sah di sisi undang-undang kerana dibuat tanpa sebarang pengumuman larangan atau pengharaman oleh pihak kementerian.

"Saya tidak setuju dgn keputusan Jawi yang telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah untuk melepaskan Nik Raina daripada tuduhannya.

"Mahkamah Rayuan Malaysia telah memutuskan bahawa tindakan Jawi dalam mendakwa Nik Raina adalah tidak sah. Melainkan sekiranya keputusan ini ditolak oleh Mahkamah Persekutuan, Jawi adalah terikat dengan keputusan Mahkanah Rayuan dan tidak wajar menuruskan pendakwaan terhadap Nik Raina.

"Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah adalah tepat dan Jawi wajar menerima keputusan dengan terbuka," jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi pengamal perundangan, Ahmad Fadzly Abdul Gani berkata, walaupun bersetuju dengan kenyataan Syahredzan, namun Jawi masih di dalam undang undang berhak untuk memfailkan rayuan.

"Seperti mana-mana pihak lain yang ke mahkamah, jika tak puas hati dengan keputusan mahkamah, mereka berhak membuat rayuan.

"Lebih baik jika mahkamah yang tentukan rayuan tersebut atas dasar merit. Jika rayuan tersebut ditolak maka responden mempunyai kuasa tindakan di mahkamah sivil terhadap Jawi untuk antara lain pendakwaan yang berniat jahat (malicious)," katanya.