Pengurus kedai buku Borders Malaysia, Nik Raina Nik Abdul Aziz mengakui penat dengan tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang masih mahu meneruskan rayuan kepada mahkamah terhadap dirinya.

Nik Raina berkata demikian apabila merujuk kepada notis rayuan Jawi kepada Mahkamah Rayuan Syariah yang diterimanya pada 12 Mac lalu dalam kes penjualan buku kontroversi "Allah, Kebebasan dan Cinta" karya Irshad Manji.

Wanita tersebut dalam kenyataan rasmi kepada media pada Rabu turut merayu agar Jawi berpegang kepada keputusan Hakim Syarie sebelum ini.

“Saya berasa sangat lelah dengan kerenah Jawi yang tidak habis-habis meneruskan tindakan yang tidak membawa manfaat kepada sesiapa jua.

"Saya berasa sangat tertekan dan merayu kepada pemimpin negara supaya dapat memerhatikan tindakan Jawi ini yang menjemukan rakyat awam termasuk masyarakat Islam," keluhnya.

Pada Disember lalu, Nik Raina telah dilepaskan oleh tiga mahkamah iaitu Mahkamah Tinggi Sivil, Mahkamah Rayuan Sivil dan Mahkamah Tinggi Syariah.

Beliau berasa ia telah muktamad selepas dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, namun masih tertanya-tanya motif Jawi dengan tindakan rayuannya.

"Saya berasa hairan dengan tindakan Jawi itu setelah menyerahkan kepada Hakim Syarie untuk membuat keputusan. Apakah, Ketua Pendakwa Syarie Jawi tidak menghormati perintah dari mahkamah?

"Apakah Jawi tidak menghayati kata-kata Hakim Syarie Tuan Mohd Amran Mat Zain 'supaya perkara ini tidak dilihat sebagai satu kontradiksi atau kesalahan atau percanggahan antara sistem perundangan'?

"Apakah keuntungan yang diperolehi Jawi dari terus mengasak dan memangsakan saya?" kata Nik Raina yang telah tiga tahun mengharungi kes itu.

Nik Raina di dalam kenyataannya itu jelas menunjukkan tertekan apabila kes tersebut telah membuat majikannya terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk membela dirinya.

Nik Raina turut menegaskan, sekiranya jika perkara ini berterusan dan selepas ini beliau tidak lagi berkerja di Borders, beliau mungkin menghadapi masalah kerana tidak akan mampu untuk membayar kos guaman.

"Saya merayu kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua Agama Islam bagi Wilayah Persekutuan untuk menegur Jawi supaya mempunyai kebijaksanaan dalam tindak-tanduknya.

"Saya bukan penulis buku itu. Saya bukan pemilik kedai buku itu. Jawi juga tahu bahawa saya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menentukan jenis dan tajuk buku yang dijual di Borders Bookstore.

"Kesalahan saya hanyalah kerana saya merupakan pengurus stor berbangsa Melayu, beragama Islam yang pada pandangan Jawi boleh dijadikan 'kambing hitam' untuk menunjukkan kekuasaan Jawi.

"Saya meminta supaya kebebasan diri saya dikembalikan. Saya meminta supaya hak-hak saya di bawah Perlembagaan Persekutuan dipelihara," katanya lagi.

Nik Raina, 38, ditahan pada 30 Mei 2012 dan didakwa di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 kerana 'menyebar dan mengedar' dengan kaedah menjual buku itu.

Beliau didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah pada 19 Jun 2012, dan pada 22 Mac tahun lalu Mahkamah Tinggi membuka peluang perbicaraan semula kepada Berjaya Books Sdn Bhd, pemilik kedai buku Borders Malaysia.

Bagaimanapun, pada 30 Disember lalu, Mahkamah Rayuan membuat keputusan bahawa serbuan dan rampasan buku Irshad Manji oleh Jawi di kedai buku Borders tidak sah di sisi undang-undang kerana dibuat tanpa sebarang pengumuman larangan atau pengharaman oleh pihak kementerian.