Datuk Dr Jeffrey Kitingan melahirkan kekecewaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang menolak semakan kehakiman mencabar pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibuat Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

Bagaimanapun, beliau yang merupakan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Ahli DUN (ADUN) Tambunan itu percaya, pihaknya akan berjaya di peringkat Mahkamah Rayuan.

Katanya, ia satu mandat yang perlu dilaksanakan sebelum pilihan raya negeri (PRN) bermula.

Beliau merupakan salah seorang daripada 33 ADUN termasuk bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman yang memohon kebenaran semakan kehakiman terhadap pembubaran DUN Sabah pada 30 Julai.

"Sedikit mengecewakan. Namun saya yakin, ia akan mendapat kejayaan dalam tempoh rayuan nanti, yang akan dibuat di Kuala Lumpur.

"Kita akan tunggu dan lihat keputusan di Mahkamah Rayuan minggu depan," kata Jeffrey ketika ditemui wakil Astro AWANI di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan STAR dalam menghadapi PRN, Jeffrey berkata, jentera parti itu sentiasa bersiap sedia.

"Di peringkat parti, kita memang telah bersiap sedia,” katanya.

Terdahulu hari ini, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan 33 ADUN berkenaan untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan Yang Dipertua Negeri membubarkan DUN pada 30 Julai lalu.

BACA: Pembubaran DUN Sabah: Mahkamah Tinggi tolak permohonan 33 wakil rakyat

BACA: Sabah Memilih: Bukti perlembagaan negeri dipertahankan - Shafie Apdal

BACA: Pembubaran DUN Sabah: 33 ADUN kemuka rayuan keputusan Mahkamah Tinggi

LAPOR LANGSUNG Mahkamah tolak kes cabar pembubaran DUN Sabah

Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim mendapati responden kedua dalam kes itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, telah bertindak menurut Perlembagaan Sabah dalam memohon responden pertama, Juhar, membubarkan DUN.

Sehubungan itu, 33 ADUN itu telah mengemukakan rayuan, menurut peguam mereka Tengku Fuad Ahmad.