Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan Datuk Dr. Jeffrey Kitingan menggalas tanggungjawab sebagai ketua pembangkang sementara dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kali ini.

Menurut Jeffrey, beliau menggalas tanggungjawab itu berikutan ADUN Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman yang sepatutnya menggalas tanggungjawab itu tidak dapat hadir pada sidang DUN kali ini.

“Tan Sri Musa sepatutnya ketua pembangkang, tetapi dia tiada. Oleh itu saya telah dipilih oleh wakil-wakil rakyat untuk menjadi ketua pembangkang.”

“Mungkin pemilihan saya ini, kerana saya memang biasa dalam pembangkang, saya terbuka menerima tanggungjawab ini dan saya menerima untuk menjalankan tanggungjawab,” katanya ketika ditemui di bangunan DUN Sabah, hari ini.

Jeffrey turut menyatakan, spekulasi yang menyatakan bahawa Musa akan dilucutkan jawatan sebagai ADUN adalah tidak benar kerana beliau percaya Musa akan kembali ke Sabah dan mengangkat sumpah sebagai ADUN sebelum bulan Ogos ini.