Tutup

Jejak Nora: 'Kawasan Gunung Berembun licin, permukaan bumi menegak' - Malim Gunung

Jejak Nora: 'Kawasan Gunung Berembun licin, permukaan bumi menegak' - Malim Gunung
Lokasinya yang jauh ke dalam kawasan hutan, pasukan forensik diperlukan untuk mengenal pasti mayat adalah seorang lelaki atau wanita. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Bagi pendaki baharu yang ingin mencuba pendakian gunung, Gunung Berembun adalah salah satu destinasi yang sesuai buat beginners.

Bagaimanapun, laluan yang melibatkan pendakian Gunung Berembun boleh dianggap sukar memandangkan keadaan jalan licin dan permukaan muka bumi yang menegak.

Itu yang digambarkan oleh Pengerusi Persatuan Malim Gunung Malaysia, Muhammad Fazlee Sabarudin ketika dihubungi Astro AWANI petang Selasa.

Muhammad Fazlee diminta mengulas berhubung keadaan muka bumi di kawasan Gunung Berembun, selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui mayat wanita berkulit putih yang berada dalam keadaan sempurna pada petang Selasa.

BACA: Satu mayat ditemui sewaktu operasi SAR mencari remaja hilang Nora Anne Quoirin

Pada Isnin, kawasan gunung itu ditumpukan sebagai kawasan pencarian Nora Anne Quoirin, remaja Ireland yang dkhuatiri hilang sejak 4 Ogos lalu.
Terbaharu, polis mengesahkan pasukan SAR telah menemui satu mayat di Gunung Berembun berhampiran sebuah resort di Pantai, Seremban, pada Selasa.



Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pihak polis menerima panggilan sekitar 1.57 petang tadi dari seorang individu yang menemui satu mayat di lokasi kira-kira dua kilometer dari lokasi remaja berkenaan dilaporkan hilang.

BACA: Keluarga tawar RM50,000 jejaki Nora Anne


Ketika artikel ini disiarkan, keluarga Nora Anne dipercayai belum lagi dibawa ke kawasan penemuan itu untuk pengecaman mayat.

Sementara itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini oleh Lucie Blackman Trust, sebuah badan amal Britain yang memberi sokongan kepada warganya semasa menghadapi krisis di luar negara, berkata: “Pada masa ini kami tidak dapat mengesahkan ia adalah Nora. Bagaimanapun, dukacita bahawa kemungkinan itu ada. Siasatan sedang dijalankan untuk mengesahkan identiti dan punca kematian.”

Nora Anne, 15 tahun, disedari hilang dari bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai oleh keluarganya pada 8 pagi, 4 Ogos.

Remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarga di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.

Berikutan laporan kehilangannya yang turut mendapat liputan media antarabangsa, pihak berkuasa melancarkan operasi mencari dan menyelamat remaja itu membabitkan lebih 300 orang daripada unit-unit dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Perhutanan negeri, Sapura serta penduduk tempatan.

Pada Ahad, keluarga remaja itu menawarkan ganjaran RM50,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga gadis itu dijumpai.

Selain liputan harian oleh media antarabangsa, polis dari Ireland, England dan Perancis juga dilapor berada di Malaysia bagi membantu siasatan kes kehilangan remaja itu.