Seorang pemandu lori menderita lebih empat jam akibat tersepit selepas terlibat kemalangan melanggar sebuah jejantas di Shah Alam malam tadi.

Kejadian berlaku di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, Seksyen 32, Shah Alam, yang menyaksikan jejantas jatuh dan menimpa kepala lori terbabit.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 10.02 malam.

Ia kemudiannya menggerakkan 11 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam ke lokasi.

“Setibanya di lokasi pada 10.22 malam, bomba mendapati sebuah lori telah melanggar jejantas pejalan kaki, mengakibatkan jejantas itu jatuh dan menimpa kepala lori dan seorang mangsa didapati tersepit.

“Bomba cuba mengeluarkan mangsa namun tidak berjaya dan terpaksa menunggu bantuan kren untuk mengangkat jejantas yang runtuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Foto JBPM Selangor

Menurut kenyataan itu, mangsa hanya berjaya dikeluarkan pada 2.30 pagi namun mengalami kecederaan parah di kedua belah tangan dan kaki.

Mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan II Rosli Abdullah berkata, mangsa yang berusia 24 tahun itu berjaya dikeluarkan selepas pihaknya mengalami kesukaran menstabilkan jejantas terbabit.

Foto JBPM Selangor

Jejantas yang dirempuh lori mangsa itu telah diheret beberapa meter susulan pelanggaran.

Menurutnya, semakan awal mendapati, pemandu lori berkenaan terlupa menurunkan ‘bucket’, atau bahagian belakang untuk meletak muatan, sehingga merempuh jejantas berkenaan.

Foto JBPM Selangor

"Lori ini untuk menjalankan kerja-kerja penambahbaikan jalan dan belum digunakan lagi. Jejantas ini runtuh akibat rempuhan lori. Bucketnya telah mengheret jejantas ke luar kawasan.

"Untuk pengetahuan semua, kecederaan di muka dan bahagian pinggang, tidak melibatkan bahagian kepala, dan bukan kritikal.

"Kita ambil masa tiga jam sebab kita terpaksa cari kren untuk jejantas dan selepas kren datang baru kita boleh buat operasi," kata Rosli.

Foto JBPM Selangor