Tabung Haji (TH) menggalakkan jemaah haji Malaysia menggunakan perkhidmatan syarikat vendor yang dilantik agensi berkenaan untuk urusan pengeposan bagasi bagi mengelak menghadapi masalah lebih muatan.

Pengurus Unit Khidmat Luar 1438 Hijrah, Mohd Lotfi Kassim berkata jemaah haji digalak menghantar lebih awal barangan dibeli di Madinah atau Makkah ke tanah air, sekali gus dapat mengelak daripada terpaksa membawa barangan itu sehingga menjejaskan tumpuan mengerjakan ibadat.

Misalnya, beliau berkata jemaah yang tiba di Madinah boleh terus mengeposkan barangan yang dibeli di kota suci itu ke tanah air tanpa perlu membawanya ke Makkah.

Pada tahun ini, beliau berkata TH melantik empat syarikat vendor - Pos Malaysia, Shah Kargo Forwarding, Nationwide serta Koperasi TH - bagi memberikan perkhidmatan pengeposan bagasi.

"Perkhidmatan penghantaran bagasi yang disediakan syarikat vendor dilantik ini adalah untuk kemudahan dan keselesaan jemaah haji Malaysia," katanya pada sidang media di sini, baru-baru ini.

Mohd Lotfi berkata kadar bayaran ditetapkan ialah SR16 bagi setiap kilogram bagasi dihantar ke Semenanjung, manakala ke Sabah dan Sarawak dikenakan SR20, tidak termasuk harga kotak berdasarkan pilihan jemaah sama ada bersaiz kecil, sederhana dan besar.

"Kadar kiriman air zam zam 10 liter melibatkan pembelian dan penghantaran adalah SR130 untuk Semenanjung, manakala SR150 bagi Sabah dan Sarawak," katanya bahawa bagi musim haji kali ini, TH menetapkan setiap jemaah dihadkan pembelian satu botol air zam zam seberat 10 liter.

Dalam pada itu, beliau berkata berikutan pertambahan kuota jemaah haji kepada 30,200 orang bagi musim haji kali ini, pihaknya menjangkakan jumlah bagasi yang dikirimkan turut meningkat,.

"Pada musim haji tahun lepas, TH merekodkan 335,000 kilogram atau 335 tan metrik barangan yang dihantar jemaah ke tanah air. Pada 2016 juga, lebih 20,000 botol air zam zam dibeli dan dihantar jemaah ke tanah air," katanya.

Beliau berkata pada musim haji lepas, tiada had kuota pembelian air zam zam dikenakan menyebabkan terdapat jemaah yang tidak dapat membuat pembelian kerana kehabisan stok.

-- BERNAMA