Jemaah haji, tidak dapat tidak, mesti melaksanakan satu daripada rukun yang dianggap sebagai kemuncak kepada ibadat haji, iaitu wukuf di Arafah, sebagai mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Haji itu, salah satu daripada rukunnya ialah wukuf di Arafah.

Pengerusi Pakar Rujuk Tabung Haji (TH) bagi musim haji 1439H Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata dalam keghairahan umat Islam untuk melaksanakan ibadat tersebut, mereka hendaklah berhati-hati agar segala ibadat tersebut dapat dilakukan dengan sempurna.

"Sesungguhnya kita berada di Arafah, di mana waktu yang dianggap sebagai waktu bermulanya wukuf ialah apabila masuk waktu Zohor pada hari 9 Zulhijjah dan berakhir sehingga terbit fajar pada hari ke-10 (Zulhijjah).

"Waktu (wukuf) yang dianggap terbaik adalah menggabungkan siang hari sepenuhnya dengan sejuzuk daripada malam, di mana apabila masuk sahaja waktu maghrib, jemaah akan mula bergerak menuju ke Muzdalifah untuk bermabit," katanya dalam satu sesi temubual bersama media di sini, pada Sabtu.

Dr Zulkifli, yang juga Mufti Wilayah Persekutuan berkata dari Muzdalifah, jemaah haji kemudiannya akan bergerak ke Mina untuk melontar pada hari-hari tasyrik.

Semasa berada di Arafah dan keadaan berihram, beliau berkata jemaah-jemaah harus berhati-hati mengikuti pantang-larang di dalam ihram seperti tidak berbual-bual kosong dan menimbulkan pergaduhan sesama jemaah.

"Dalam mendapatkan haji mabrur, perkara yang pertama adalah niat yang sebenar-benar kerana Allah untuk melaksanakan haji.

"Kedua, perlu kefahaman dan pemahaman yang jelas dalam melaksanakan ibadah haji kerana Rasulullah SAW menyatakan (di dalam hadis yang bermaksud) "ambillah daripada aku ibadat haji kamu".

Katanya jemaah haji Malaysia harus benar-benar menekuni dan mempelajari ilmu menunaikan haji seperti yang telah diajarkan oleh pihak TH di dalam kursus-kursus di tanah air dan sesi-sesi ceramah di sini.

Jemaah, katanya harus memahami pantang-larang haji, terutamanya ketika di dalam ihram di samping mengisi perjalanan ibadah itu dengan zikir, kesabaran, ibadah-ibadah sunat dan bacaan al-Quran.

"Sesungguhnya, ibadat haji ini hanya sekali sahaja seumur hidup. Justeru, apabila kita lakukan, kita hendaklah lakukan dengan sepenuh hati, dengan mempelajari dengan sebaiknya dan melakukan dengan penuh kehambaan kepada Allah SWT," katanya.

Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia daripada 12 maktab akan bermula bergerak pada 7 pagi 8 Zulhijjah 1439H (19 Ogos, 2018) secara berperingkat untuk melaksanakan ibadat wukuf, bermabit dan melontar jamrah di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Setiap maktab akan dibekalkan dengan 22 buah bas yang akan berulang-alik membawa jemaah dari Makkah ke Arafah sebanyak tiga pusingan dan dijangka kesemua jemaah akan tiba di Arafah selepas waktu Isyak.

-- BERNAMA