Mana-mana individu yang mengerjakan umrah dan disyaki menyertai kumpulan militan dikatakan hanya mengambil visa ziarah dan boleh menyimpang ke negara lain untuk menyertai IS.

Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, kelazimannya jemaah berdaftar dengan syarikat berdaftar akan mengambil visa umrah yang lebih terjamin keselamatannya.

"Kita ada kawalan, pasport jemaah umrah yang menggunakan perkhidmatan syarikat-syarikat berdaftar akan dipegang muasasah (badan yang didirikan untuk mengawal jemaah di Mekah) sehingga saat pulang semula ke Malaysia.

"Tidak timbul isu jemaah ini boleh menyimpang dan ke Syria untuk menyertai IS.

"Mereka yang ke Syria ini adalah kumpulan yang menggunakan syarikat kecil atau pergi secara bersendirian, mereka ini dibenarkan memegang pasport," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Md Daud mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang menyatakan terdapat dua rakyat negara ini yang mengerjakan umrah dan menyertai IS di Syria.

Kata Khalid, modus operandi itu merupakan taktik terbaharu rakyat negara ini untuk menyertai IS.

Dalam pada itu jelas Md Daud, pihaknya turut menafikan sebarang desas-desus yang mendakwa ada syarikat mengerjakan umrah terlibat dengan sindiket berkenaan.

"Tidak logik kalau ada dakwaan sebegitu, cuba fikirkan bagaimana jemaah ini hendak ke Syria jika mereka tidak ada pasport. Hentikan jika ada tuduhan agensi umrah yang besar terlibat dengan isu sebegini.

"Semua jemaah yang menggunakan khidmat kami akan pulang mengikut jadual dan jika tidak pulang, hanya satu kemungkinan iaitu meninggal dunia di Mekah atau Madinah," ujarnya.

Sebelum ini, pembabitan rakyat Malaysia dalam IS dilihat memasuki dimensi baru.

Ia selepas pendedahan rakaman video pembabitan rakyat negara ini dipercayai terlibat menyembelih tawanan perang di Syria.

Rakaman diperoleh Bahagian Risikan Anti Keganasan Polis Diraja Malaysia selepas ia dimuatnaik di laman Facebook anggota IS Malaysia pada 22 Februari lalu.