Rukun Negara perlu disesuaikan dengan perubahan zaman selepas 50 tahun prinsip itu dirangka.

Menurut Ahli Pemikir Kementerian Perpaduan Negara, Prof Sivamurugan Pandian, Rukun Negara perlu disesuaikan dengan keadaan semasa terutama dalam menarik generasi muda menghayati prinsip yang diwarisi itu.

Tegasnya, tindakan segelintir pihak yang membelakangkan sensitiviti dalam kalangan masyarakat menunjukkan pegangan terhadap prinsip itu semakin terhakis.

"Saya rasakan kita (negara) gagal dalam menyemat nilai Rukun Negara itu... mungkin kita telah berjaya membina Malaysia tetapi kita gagal membina warga Malaysia.

"Kalau nilai di sebalik Rukun Negara itu telah kita pastikan secara berterusan diamalkan dan dijadikan satu amalan, mungkin ia bukan hanya akan menjadi satu falsafah sebaliknya menjadi amalan.

"Jadi selepas 50 tahun kita boleh menyoal,apakah perlu lagi Rukun Negara? Apakah harus diubah suai kepada Rukun Malaysia?

"Tetapi bagi saya kalau yang asal pun kita tidak mampu capai keseluruhan, apakah perlu penjenamaan baharu?" soal beliau.


Tambah Sivamurugan, hak kebebasan bersuara kepada setiap rakyat di negara ini sentiasa diberikan, namun tidak dinafikan ada pihak yang menggunakan hak itu menjangkaui sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama.

"Dalam konteks ini kita tidak boleh menyalahkan orang muda, mereka tahu dan faham mengenai prinsip Rukun Negara tapi tidak menunjukkan secara luaran seperti mana dilakukan generasi pertama dan kedua.

"Ini kerana generasi (kedua dan ketiga) ini telah melalui keadaan tahun 1960-an. mereka telah melihat rusuhan perkauman, melihat susahnya nak membina sebuah masyarakat.

"Kita hidup berdampingan tetapi berasingan, kita bergaul tetapi tidak bergabung bermakna kita harus boleh meningkatkan nilai penyatupaduan.

"Kepelbagaian harus dilihat satu aset bukan liabiliti, kita harus meraikan kepelbagaian nilai-nilai inilah yang harus kita semai kita pupuk kita ajar kepada generasi ini," kata Sivamurugan lagi.

Justeru, penjenamaan baharu Rukun Negara, katanya, mampu menarik semula semangat generasi muda dalam menghayati prinsip itu.

Namun roh lima prinsip itu yang dirangka sejak lima dekad lalu itu, ujar Sivamurugan, perlu dikekalkan dan tidak boleh dipinggirkan sama sekali.

"Jangan kita ubah lima prinsip itu semata-mata selepas 50 tahun kita melihat tidak ada penghayatan mungkin pendekatan harus diubah," tegas Sivamurugan.

Secara peribadi, Sivamurugan berkata, beliau tidak setuju sekiranya lima prinsip Rukun Negara diubah kerana aturannya sudah disusun dengan sempurna.

"Saya tidak setuju kalau kita kata zaman sudah berubah dan kita harus paksa generasi muda faham kita perlu pertahan nilai kenegaraan ini kerana ini negara kita.

"Saya rasa generasi muda tidak akan mengikut penjenamaan seperti itu, penjenamaan itu penting bagaimana Rukun Negara ini pemasarannya kita lakukan dengan cara berbeza tetapi roh matlamat kenapa ia dilahirkan harus kita pertahankan," kata Sivamurugan memberi pendapat.