SAAT terbaca tentang kes sembilan kanak-kanak dicabul oleh guru di sekolah, terasa betapa terkutuknya warga pendidik khususnya golongan lelaki. Lelaki, makhluk yang dicipta untuk jadi pembimbing dan imam kepada wanita melakukan kes jenayah seksual sungguh merupakan sesuatu yang memalukan. Lelaki yang merupakan seorang guru, yang diberikan amanah untuk mendidik anak bangsa menjadi seorang yang mempunyai masa depan yang cerah telah memilih untuk menggelapkan masa depan sembilan perempuan yang baru hendak mengenal erti ilmu. Lantaran itu, sifat malu seharusnya telah ada dalam diri lelaki-lelaki yang masih wujud pada masa kini atas apa yang makhluk sejenis ini telah lakukan.

Tetapi pada hari ini, beritanya ialah, untuk mengelakkan pedofilia, perempuan harus diajar berpakaian sopan dari usia kanak-kanak. Dan ibu bapa tidak digalakkan menayangkan gambar anak-anak di laman sosial dengan terlalu kerap. Pendekatan mencegah ini diberi keutamaan seolah-olah seperti mahu meletakkan kesalahan utama ialah berpunca daripada perempuan.

Ini adalah masalah kita daripada zaman Arab Jahilliah. Bagi kita semua kesalahan seksual adalah berpunca daripada wanita semata-mata. Wanita berpakaian seksi, wanita bersuara manja, wanita bermata menggoda, wanita tidak berstokin, dan wanita terlalu mesra. Semuanya adalah punca kepada berlakunya keruntuhan akhlak lelaki. Lebih meyakinkan lagi, kita dihujahkan dengan cerita zaman para anbiya yang mengatakan lelaki beriman digoda pelacur, lelaki beriman tewas kerana tidak menutup aurat.

Kita tidak pernah mahu meletakkan kesalahan utama ialah nafsu lelaki yang tidak boleh menjaga diri, menjaga nafsu dan menjaga mata. Malah sehingga ke dasawarsa ini kita dengan egonya cuba menyatakan bahawa lelaki hanyalah mangsa keadaan yang tidak sengaja mencabul perempuan. Sekarang ini, untuk kes pedofilia kita cuba pula menyalahkan kanak-kanak sebab lahir terlalu cantik dan membuat lelaki tidak mampu mengawal perasaan.

Masyarakat (atau lebih tepatnya LELAKI) sedang rosak. Kita masih mahu meletak ego lebih tinggi daripada kebobrokan akhlak kita yang dibawah paras tidak normal. Hukuman-hukuman yang dijatuhkan pada masa kini juga adalah tidak relevan dan sangat berat sebelah. Antara hukuman yang paling tidak masuk akal ialah kes yang dilaporkan terjadi di Arab Saudi iaitu Ehsan Aziz yang terlepas daripada tuduhan melakukan jenayah rogol dengan alasan tidak sengaja termasukkan zakarnya ke dalam alat kelamin perempuan.

Sedarlah, apabila satu hubungan seks berlaku, perempuan tiada dara lebih hina daripada lelaki tiada teruna. Jadi bagaimana kesalahan itu boleh diletakkan kepada perempuan sekiranya pemecah daranya ialah lelaki yang bukan mahramnya. Sedarlah bahawa dengan menyalahkan perempuan akan melahirkan lebih banyak ketidakpuasan hati antara jantina. Kesan jangka masa panjangnya ialah akan wujud lebih banyak golongan feminism yang anti lelaki dan semakin kurang jumlah perkahwinan kerana adanya isu tidak percaya dan saling membenci antara lelaki dan perempuan.

Sudah tiba masanya lelaki berani menjadi seorang lelaki. Lelaki yang baik hati dan penuh bertanggungjawab membimbing rusuk sebelah kiri. Sebagai lelaki, kita seharusnya melengkapkan diri dengan ketahanan seksual yang kuat dalam diri.Untuk mengatasi permasalahan ini perkara utama yang harus diambil peduli ialah untuk mempunyai empati yang tinggi dalam diri.

Empati seorang lelaki ialah dengan meletakkan diri sebagai seorang bapa yang mempunyai anak perempuan, seorang suami yang mempunyai isteri rupawan, dan seorang abang yang ada adik perempuan. Sanggupkah kita melihat kesayangan kita sendiri menjadi kezaliman lelaki yang tidak mampu menahan diri. Berbalik kepada perkara ini maka muhasabahlah diri. Jadilah kita lelaki yang tidak akan merosakkan sesiapapun. Semoga kita dapat menahan diri daripada menjadi mereka yang merosakkan masa hadapan insan yang lemah dan memerlukan perlindungan.


Ishak Sairozi adalah merupakan Eksekutif Yayasan 1Malaysia dan pembaca tegar AstroAwani.com

Kenyataan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI