Jenazah tokoh wartawan negara, Datuk Ahmad A. Talib selamat dikebumikan di Taman Perkuburan Raudhatul Sakinah, Kem Perdana Sungai Besi, di sini malam tadi.

Terdahulu, jenazah Ahmad, 69, tiba Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan kira-kira 7.40 malam untuk dimandikan dan dikafankan seterusnya disolatkan.

Solat jenazah diimamkan anak bongsu Allahyarham, Al-mu Syarisyawal Ahmad dan turut disertai Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, serta ahli keluarga Allahyarham.

Solat jenazah dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) termasuk pemakaian penutup hidung dan mulut, serta jarakan sosial antara jemaah.

Sejurus solat jenazah selesai, jenazah dibawa ke tanah perkuburan dan difahamkan hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan berada di kawasan perkuburan, bagi urusan pengebumian.

Allahyarham disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 5.42 petang semalam, selepas bertarung dengan kanser hati.

Berita sedih pemergian bekas Pengarah Operasi Berita dan Editorial Kumpulan Media Prima Bhd (MPB) itu, dikongsikan oleh anak perempuan Allahyarham, Sophia Ahmad menerusi catatan di laman Facebook beliau.

-- BERNAMA