Tutup

Jenazah Almarhum Sultan Ismail Petra selamat disemadikan

Jenazah Almarhum Sultan Ismail Petra selamat disemadikan
Jenazah Almarhum Sultan Ismail Petra tiba di perkarangan Makam Diraja yang diarak menggunakan pedati khas dari Istana Balai Besar sebelum dimakamkan di Makam Diraja Langgar hari ini. - BERNAMA
KOTA BHARU: Istiadat pemakaman jenazah Almarhum Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra selesai jam 7.20 malam tadi di Makam Diraja Langgar di sini.

Solat jenazah diimamkan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad pada jam 4.56 petang yang disertai kerabat diraja, orang kenamaan dan kira-kira 1,000 rakyat jelata.

Terdahulu, orang kenamaan dan rakyat diberi peluang menziarahi Almarhum Sultan Yahya Petra di Istana Balai Besar di sini, selama dua jam bermula 2 petang tadi.

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ismail Petra yang diarak keluar dari Istana Balai Besar dengan penuh istiadat. - BERNAMA
Jenazah Almarhum baginda meninggalkan perkarangan Istana Balai Besar jam 5 petang ke Makam Diraja Langgar dengan pedati yang diiringi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejauh 3.4 kilometer.
Ribuan rakyat jelata yang hadir memberi penghormatan terakhir sepanjang laluan turut bersedih dengan kemangkatan Almarhum Sultan Ismail Petra.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (empat, kiri), Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah (tiga, kiri) dan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V (dua, kiri) menunaikan solat jenazah kepada Almarhum Sultan Ismail Petra di Istana Balai Besar. - BERNAMA
Berangkat ke istiadat pemakaman yang bermula pada 6.40 petang ialah isteri Almarhum, Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid serta semua anakanda baginda termasuk Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Turut berangkat, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.






Tag: Sultan Ismail Petra mangkat, Makam Diraja Langgar, Istana Balai Besar, Sultan Kelantan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.