Jenazah Kapten Hasman Hussin yang meninggal dunia selepas kenderaan yang dinaikinya hanyut dalam banjir di Missouri, Amerika Syarikat, selamat tiba di New York dari Missouri jam 5.30 pagi tadi waktu Malaysia.

Perkara itu disahkan oleh Sel Rerhubungan Raya Markas Tentera Darat dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

"Usaha kini sedang dibuat bagi menguruskan penerbangan jenazah berkenaan ke Malaysia," kata kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu, setakat ini, jadual penerbangan untuk membawa balik jenazah dari New York ke Malaysia belum dapat disahkan lagi.

"Jadual penerbangan dari New York ke Malaysia akan dimaklumkan setelah pengesahan diperolehi," katanya.

Allahyarham yang sedang menjalani kursus di Fort Leonard Wood sejak 1 Oktober lalu, dilaporkan hilang pada 26 Disember apabila kenderaan yang dinaiki bersama rakan kolejnya, dihanyutkan banjir deras di Missouri.

Insiden itu turut meragut nyawa empat rakannya dari negara lain.

Rabu lalu, Markas Tentera Darat mengesahkan mayat Allahyarham dijumpai pada 11 pagi, 28 Disember waktu tempatan.