Jenazah lima sekeluarga yang mati lemas ketika mandi di Air Terjun Belukar Bukit, pada Sabtu, selamat dikebumikan awal pagi tadi.

Jenazah mereka dikebumikan di satu liang lahat di Tanah Perkuburan Kampung Pengkalan Arang, kira-kira 1.45 pagi.

Kesemua mangsa dikenal pasti sebagai Abdul Halim Samian berusia 44, Nurul Adila @ Salawati Awang, 39, Nurul Arifah Abdul Halim, 16, Nurul Aina Abdul Halim, 11, dan Nurul Izah Abdul Halim, 10.

Terdahulu, kesemua jenazah disembahyangkan di Masjid Kampung Pengkalan Arang.

Sementara itu, bapa Allahyarham,Mohd Halim. Samian Somo, 84 tahun berkata sejurus mengetahui mengenai kejadian berkenaan, beliau sekeluarga bergegas datang ke Kuala Terengganu dari Muar, Johor.

"Dah takdir Allah, kita serah ajal kepada Allah, mana tahu terperanjat tadi dari pukul 12 nak makan tadi, baru sahaja tiga suap terus tak termakan termasuk anak perempuan saya, adik dia yang meninggal ini, tapi hari raya tu dia tak cakap apa-apa, tak ada perbezaan perasaan saya, dia datang bergurau begitu sahaja, yang ini memang terperanjat, mula-mula memang tak percaya sehingga ia sah", katanya selepas pengekebumian hari ini.

Dalam kejadian pada jam 11.35 pagi Sabtu itu, lima sekeluarga, termasuk dua kanak-kanak perempuan mati lemas ketika mandi manda di air terjun Belukar Bukit.

Kesemua mayat berasal dari Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor itu dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh waris terdekat. - Foto BERNAMA

Bagaimanapun, seorang lagi mangsa, Mohd Hasif Abdul Halim, sembilan tahun pula selamat kerana tidak mandi bersama anggota keluarganya yang lain.

Sementara itu, abang sulong Allahyraham, Hussein Samian berkata, mereka sekeluarga akan berbincang mengenai kedudukan Mohd Hasif, satu-satunya anak pasangan terbabit yang terselamat.

"Mengenai anak kecil ini kami belum buat sebarang perbincangan lagi namun kami akan bincang dengan keluarga, Kami tak sempat nak bincang lagi kerana keadaan masih kelam kabut. Tengok macam mana nanti", katanya.

Menurutnya, hasrat Allahyarham mahu melihat anak bongsunya itu yang sedang belajar di Sekolah Agama Sri Hira' untuk menjadi seorang tahfiz.