Jenazah nelayan Malaysia yang meninggal dunia selepas menjadi tebusan Kumpulan Abu Sayyaf sejak 6 Disember lalu, akan dibawa pulang ke Sabah dalam tempoh terdekat.

Mangsa, Jari Abdullah, 34 tahun, dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Bandar Zamboanga, Filipina, di sisi ibunya.

Allahyarham dilaporkan mengalami kecederaan parah akibat insiden tembak menembak dengan pasukan keselamatan Filipina dengan kumpulan pengganas tersebut.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, mangsa difahamkan mengalami kecederaan parah akibat terkena tembakan di belakang tengkuk, paha dan perut ketika serangan pihak tentera Filipina di sarang persembunyian Abu Sayaf di Kepulauan Sulu, pada 4 April lalu sebelum dibawa ke hospital.

"Selepas kejadian tersebut, dia telah dibawa ke hospital di Filipina. Kerajaan telah berusaha untuk membawa keluarga mangsa menemui mangsa di hospital (Zamboanga) di mana melalui Kementerian Luar telah membawa keluarga mangsa ini, semalam (Selasa).

"Kita ucapkan takziah kepada pihak keluarga mangsa. "Difahamkan jenazah mangsa ini akan dibawa balik ke Malaysia dan diuruskan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri," katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu, pada Rabu.

BACA: Nelayan tempatan mangsa culik meninggal dunia - Polis Sabah

Untuk rekod, pada Disember tahun lalu, Jari dan dua rakannya, warga Indonesia, Heri Ardiansyah dan Hariadin, diculik kumpulan pengganas berkenaan ketika memukat ikan di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan.

Penculik itu kemudiannya melarikan mangsa ke Selatan Filipina dan meminta wang tebusan RM4 juta setiap seorang.

Pada 4 April lalu, ketiga-tiga mereka cuba menyelamatkan diri dan berjaya ditemui pasukan keselamatan.

Namun, Hariadin ditemui mati lemas, manakala Heri selamat dan Jari pula cedera parah ketika ditemui.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Omar mendedahkan kes jenayah di Sabah secara keseluruhannya meningkat sebanyak 9.19 peratus sepanjang tempoh Januari hingga Mac 2019 berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

"Kes-kes jenayah yang berlaku di Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 9.19 peratus bagi tempoh Januari sehingga 31 mac 2019, berbanding tempoh yang sama tahun lalu secara keseluruhannya.

"Bagi jenayah harta benda menunjukkan peningkatan sebanyak 9.35 peratus dan jenayah kekerasan memperlihatkan sebanyak 7.69 peratus bagi tempoh Januari sehingga Mac 2019, "katanya.