Jenazah dua beranak yang maut akibat dirempuh kenderaan go-kart pada Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016 di Jalan Sukpa, Indera Mahkota, selamat dikebumikan di sini malam ini.

Jenazah Izwan Isa, 39, dan anaknya Nur Zulaikha, lima, dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bukit Ubi, pada pukul 11.10 malam, dengan disaksikan hampir 200 anggota keluarga dan kenalan.

Terdahulu, jenazah kedua-dua beranak itu dikafan dan disembahyangkan di Masjid Tengku Ampuan Afzan Indera Mahkota, pada pukul 10 malam, selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) malam ini.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob adalah antara 600 jemaah yang menyertai solat jenazah itu.

Izwan, penyelia sebuah kilang di Gebeng di sini, dan Nur Zulaikha meninggal dunia apabila sebuah go-kart terbabas dan merempuh ke arah mereka ketika sedang menonton perlumbaan itu.

Isteri Izwan, Siti Suhaiza Seman, 38, dan anak sulung mereka Muhammad Izz Danial, tujuh, cedera dan dirawat di HTAA dan setakat petang ini, hanya Siti Suhaiza, guru di Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota, dibenarkan pulang ke rumah.

Bagaimanapun, kelibat beliau tidak kelihatan semasa urusan pengebumian. -- BERNAMA