Jenazah Napsiah Omar selamat disemadi

Jenazah Napsiah Omar selamat disemadi
Anak ketiga Allahyarhamah Tan Sri Napsiah Omar, Mohd Rizal Abdul Aziz (tiga, kanan) menyiram air di pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jawa hari ini. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Jenazah Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita Umno Pusat, Tan Sri Napsiah Omar  selamat dikebumikan pada jam 12.20 tengah hari di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melang, hari ini.

Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 74 tahun, di kediaman anaknya di  Petaling Jaya, Kuala Lumpur pada jam 6.10 petang akibat kanser hati.

Jenazah dimandikan dan dikafankan pada jam 8.45 pagi di Masjid Darul Ehsan Taman Tunku Abdul Razak (TAR) Ampang Kuala Lumpur sebelum di bawa ke surau Tunku Muhriz Kampung Jawa Kuala Pilah dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Melang.

Solat jenazah turut diadakan di surau berkenaan yang dihadiri Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhaudin Tuanku Muhriz, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Antara yang turut memberi penghormatan terakhir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Mat Ali Hasan, bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek serta semua Adun dalam Parlimen Kuala Pilah.
Napsiah Omar


Dalam pada itu, ahli keluarganya masih lagi bersedih atas kehilangan ibu tersayang dan enggan ditemubual.

Sementara itu, Tan Sri Napsiah Omar dilahirkan pada 21 April 1943 di Kuala Pilah, seorang pendidik dan ahli politik Malaysia.

Seorang aktivis Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) dan pernah menuntut di Universiti Kebangsaan Australia dalam bidang zoologi dan botani serta bidang pemakanan dan pendidikan dari Universiti Cornell.

Dari tahun 1969 hingga 1982, Napsiah mengajar di Universiti Pertanian Malaysia, menjadi profesor bersekutu dan ketua Jabatan Pengajian Manusia.

Allahyarham pernah memegang jawatan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Sosial pada 1990, bergiat aktif dalam dunia politik sejak 1972 serta bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-75 pada Sabtu ini.

Mula menceburi dunia politik di Kuala Pilah di mana Allahyarhamah juga pernah menyandang jawatan Ahli Parlimen Kuala Pilah dan Adun Pilah.

Pada tahun 1972, beliau menyertai cawangan tempatan Umno dan terpilih ke Dewan Rakyat bagi mewakili Parlimen Kuala Pilah pada 1982.

Beliau pernah menjawat jawatan Ketua Bahagian Wanita Umno dan pada 1987, dan memegang jawatan Menteri Perusahaan Awam.

Pada1990, beliau dipilih sebagai Timbalan Ketua Wanita Umno Pusat, kemudian menjadi Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Sosial.