Jenazah Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit 2 di Kampung Parit 2 berdekatan Sungai Burong pada jam 2 pagi awal Sabtu.

Ketibaan jenazah disambut kira-kira 1,000 orang yang terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan yang hadir memberikan penghormatan terakhir sejak jam 6 petang di kediaman Allahyarham.

Jenazah tiba di Masjid Ar Rahmah Batu 12, Sungai Burong di Tanjung Karang sekitar jam 1.15 pagi.

Antara kenamaan yang hadir di upacara pengkebumian termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ketua Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Noh Omar, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim dan Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Jenazah Ahli Parlimen Sungai Besar tersebut tiba di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja di Subang, Selangor sekitar jam 11.45 malam dan dibawa pulang ke kampungnya di sini.

Beliau mempunyai lima orang anak hasil perkongsian perkahwinan dengan Asmuni Abdullah.

Mayat Allahyarham telah diterbangkan dari Sebuyau dengan helikopter khas kira-kira jam 3.48 petang Jumaat.

Noriah Kasnon
Helikopter tersebut membuat pendaratan di padang IPK Sarawak sebelum dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk urusan selanjutnya.





Dalam insiden yang membabitkan pesawat malang itu, Allahyarham dilaporkan dalam perjalanan dari Betong ke Kuching pada kira-kira jam 4.12 petang Jumaat sebelum helikopter RPC 6828 yang dinaikinya hilang dari radar 20 minit selepas berlepas.

Selain Allahyarham, turut menaiki helikopter sama ialah suaminya dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar, yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas turut menaiki pesawat malang itu.

BACA: Nahas helikopter: Rangkuman hari kedua operasi SAR