Jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Muadzam Shah akan dimakamkan di Makam Diraja di Pekan, Pahang selepas solat Zohor esok.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, jenazah Almarhum dijangka tiba di Pangkalan Udara Kuantan Tentera Udara Diraja petang ini kira-kira pukul 4.30 petang sebelum dibawa ke Istana Abu Bakar di Pekan.

Katanya, penghormatan terakhir bagi pembesar negeri dan orang kenamaan bermula pada pukul 11 pagi esok manakala untuk orang ramai pula bermula malam ini hingga 11 pagi esok.

"Jenazah Almarhum akan disemayamkan di Makam Diraja Pekan," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Sri Pahang, Kuantan.

Sultan Haji Ahmad Shah, 88, yang memerintah Pahang hampir 45 tahun mangkat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada pukul 8.50 pagi ini.

Almarhum yang merupakan Sultan Pahang Kelima memegang tampuk pemerintahan negeri selama 45 tahun sebelum diambil alih oleh anakanda baginda, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari lalu ekoran keadaan kesihatan baginda yang tidak mengizinkan.

Menurut Sallehuddin, tempoh berkabung negeri adalah selama 40 hari mulai hari ini bagi menghormati kemangkatan Almarhum.

Katanya, sepanjang tempoh itu, bendera negeri perlu dikibarkan separuh tiang

Menurutnya, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan turut dibatalkan selama tiga hari bermula pukul 12 tengah hari ini.

Sementara itu, sebagai tanda penghormatan ke atas kemangkatan Almarhum, kerajaan negeri juga mengumumkan esok (Khamis) sebagai hari kelepasan am bagi seluruh negeri ini.