Jepun bersetuju untuk terus membantu Malaysia meneruskan Dasar Pandang ke Timur, seperti mana yang dihasratkan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe berkata, pihaknya menganggap Dr Mahathir sebagai rakan, dan Jepun akan sentiasa membantu jika ada permintaan dari Putrajaya.

“Saya sudah maklumkan pada Tun, kami akan membuat kajian mengenai bantuan ini, dan keutamaan dalam sektor seperti pendidikan, sumber manusia, peralihan teknologi, dan pelaburan,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media bersama Dr Mahathir, di Pejabat Perdana Menteri Jepun, di Tokyo hari ini.

Terdahulu, kedua-dua pihak mengadakan pertemuan selama hampir 30 minit bagi membincangkan isu-isu di antara dua negara.

Delegasi Malaysia, selain daripada Dr Mahathir, turut disertai Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Pelajaran Dr Maszlee Malik, Duta Malaysia ke Jepun Datuk Ahmad Izlan Idris, serta pegawai kanan kerajaan.

Dalam pada itu, Abe berkata, pihaknya kini sedang melaksanakan kajian bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan kepada penumpang dan kargo.

Beliau berkata, Kerajaan Malaysia mungkin boleh mendapat manfaat daripada kajian yang dijalankan itu, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan sendiri.

“Pakar dari dua syarikat pengangkutan kami iaitu JR Kyushu dan JR Freight akan bertolak ke Kuala Lumpur akhir bulan ini bagi berkongsi pandangan dan memberi khidmat nasihat kepada Malaysia,” katanya lagi.

Mengenai permintaan Malaysia untuk universiti Jepun membuka cawangan di sana, Abe berkata, pihaknya secara am bersetuju, dan akan mengadakan konsultasi secepat mungkin.

Dan mengenai persetujuan Kerajaan Jepun untuk Bon Samurai, Abe berkata, mereka akan terbitkan bon itu dengan jaminan debit.

BACA: Ada sesuatu yang istimewa tentang Jepun - Tun Mahathir