Semua premis makanan di daerah Jerantut, Pekan dan Raub tidak dibenarkan melakukan operasi penjualan secara bawa pulang atau 'takeaway' mulai Selasa ini, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Beliau berkata arahan itu juga meliputi restoran makanan segera di tiga daerah terbabit dan berkuat kuasa sehingga Kerajaan Persekutuan menarik balik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

"Arahan ini dilaksanakan untuk memperketatkan operasi premis menjual makanan di daerah terlibat kerana jumlah COVID-19 di Jerantut dan Pekan adalah yang tertinggi di Pahang manakala situasi penularan yang membimbangkan dicatat di Raub.

"Sepanjang arahan ini berkuat kuasa, hanya perkhidmatan secara penghantaran sahaja dibenarkan," menurutnya dalam kenyataan media di sini pada Ahad.

Sallehuddin berkata sepanjang penguatkuasaan arahan itu, pihak berkuasa tempatan perlu mengambil tindakan yang tegas untuk memastikan ia dipatuhi.

PKP, yang bermula pada 18 Mac, sepatutnya berakhir pada 31 Mac namun Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan bahawa ia dilanjutkan sehingga 14 April.

-- BERNAMA