Tutup

Jerebu: 409 sekolah di Sarawak ditutup

Jerebu: 409 sekolah di Sarawak ditutup
Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak telah mengedarkan 69,000 topeng muka untuk 713 sekolah di bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Mukah dan Sibu.
KUCHING: Sebanyak 409 buah sekolah di lima bahagian di Sarawak ditutup hari ini berikutan jerebu yang melanda negeri itu.

Jabatan Pendidikan Negeri dalam satu kenyataan tengah hari tadi mengesahkan penutupan sekolah-sekolah ini melibatkan 157,479 murid.

Ia susulan arahan dikeluarkan kepada semua sekolah berhubung prosedur operasi standard bencana jerebu, iaitu penutupan sekolah jika bacaan IPU berada dalam kategori amat tidak sihat.

Daripada jumlah itu daerah Padawan mencatatkan jumlah sekolah terbesar iaitu 86 sekolah rendah dan 15 sekolah menengah, membabitkan 46,572 murid.
Ini diikuti daerah Kuching, melibatkan 26 sekolah menengah dan 61 sekolah rendah, serta 60,509 murid.

Sejumlah lapan sekolah menengah dan 45 sekolah rendah ditutup di Betong, manakala empat sekolah menengah dan 40 sekolah rendah ditutup di Bau.
Turut ditutup, 30 sekolah di Lubok Antu, tiga sekolah di Samarahan, 20 sekolah di Serian, 41 sekolah di Sri Aman dan 30 sekolah di Lundu.

Pun begitu, sekolah-sekolah yang menduduki UPSR masih meneruskan peperiksaan tersebut, dan keputusan untuk menangguhkannya akan dilakukan jika bacaan IPU mencecah 300.

Sementara itu, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak telah mengedarkan 69,000 topeng muka untuk 713 sekolah di bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Mukah dan Sibu.


Tag: jerebu, Sekolah tutup, Jabatan Pendidikan Negeri



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.