Sebanyak 57 buah sekolah di daerah Kuala Langat dan Klang akan ditutup esok, susulan keadaan jerebu yang serius di kawasan berkenaan.

Menurut Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata penutupan itu membabitkan 30 buah sekolah di Kuala Langat dan 27 di Klang dengan melibatkan jumlah keseluruhan pelajar seramai 68,025 orang.

"Penutupan itu dibuat berdasarkan bacaan IPU (Indeks Pencemaran Udara) di stesen Johan Setia melebihi 200, setakat pukul 2 petang tadi.

"Maka semua sekolah yang tidak disenaraikan akan kembali beroperasi seperti biasa pada hari Isnin (esok)," katanya.

Menurut kenyataan itu, bagi sekolah yang merekodkan bacaan IPU melebihi 100, pihak sekolah diingatkan supaya menghentikan semua aktiviti di luar kelas selain aktiviti keramaian dan sukan ditangguhkan.

Katanya, pihak sekolah juga telah diingatkan sekiranya bacaan IPU di kawasan sekolah melebihi 200, tindakan menutup sekolah terbabit perlu dibuat serta merta dan melaporkan segera penutupan berkenaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah atau Jabatan Pendidikan Negeri.

"Semua sekolah terlibat diingatkan supaya merujuk kepada Prosedur OperasiStandard Penutupan Sekolah Berikutan Kejadian Jerebu bertarikh 18 September2019 dan mengambil tindakan selarasdengan kenyataan dalam surat siaran tersebut," katanya.

Rabu lepas, Jawatankuasa Pengurusan Bantuan dan Bencana Negeri Selangor mengarahkan semua sesi persekolahan di sekolah awam dan swasta di negeri itu ditutup sehingga Jumaat lepas.

Ia berikutan cuaca jerebu yang sedang berlaku di semua daerah di negeri itu yang disifatkan tidak sihat dan sangat tidak sihat.

Sementara itu, menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 5 petang inj, bacaan IPU di Kuala Selangor adalah 169, Shah Alam (152), Petaling Jaya (143), Klang (141) dan Banting (126).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

-- BERNAMA