Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bukan korelasi langsung dengan jarakan penampakan dan purata bacaannya untuk tempoh 24 jam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wani Ismail berkata, penggunaan PM2.5 dalam pengiraan IPU adalah selaras dengan piawaian antarabangsa.

Justeru itu, jelasnya, orang ramai tidak perlu keliru dengan bacaan IPU berbanding suasana sebenar.

“Bacaan IPU yang disalurkan JAS menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) adalah merupakan bacaan IPU rasmi negara dan data-data itu telah ditentusahkan sebelum dipamerkan kepada orang awam,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pemberita selepas merasmikan Kompleks Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing™) di Universiti Putra Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas rungutan orang ramai yang meragui bacaan IPU yang didakwa rendah berbanding tahap jerebu yang melanda beberapa lokasi di negara ini.

Mengulas lanjut, Wan Azizah menasihati orang ramai agar mengikut saranan JAS dengan merujuk bacaan rasmi IPU yang dikeluarkan jabatan itu sahaja bagi mengelak sebarang kekeliruan.

Katanya, bacaan IPU JAS boleh diakses melalui laman sesawang jabatan itu atau melalui aplikasi MyIPU yang boleh dimuat turun melalui Google Plays dan Apple Store.