Semua sekolah ditutup, manakala aktiviti ekonomi penduduk mula terjejas susulan jerebu yang melanda Sri Aman di Sarawak susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang mencatatkan paras bahaya pada hari ini.

Antara yang terjejas teruk akibat fenomena alam itu ialah golongan nelayan apabila mereka terpaksa membatalkan hasrat turun ke laut menangkap ikan kerana masalah jarak penglihatan yang terhad.

Menurut seorang nelayan dari Kampung Hulu Sri Aman, Subadron Jamaluddin, dia tidak dapat ke laut.

“Hari ini kami tidak dapat turun ke sungai disebabkan keadaan jerebu yang amat merbahaya. Ya, pendapatan kami kira terjejas ekoran daripada bacaan IPU sangat tinggi atau merbahayalah, jadi buat sementara aktiviti penangkapan ikan diberhentikanlah,” katanya ketika duitemui di sini hari ini.

Selain itu, Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Dr. Abang Adam Abang Deli memaklumkan jerebu yang mencecah bacaan melebihi 300 hari ini turut memaksa 41 buah sekolah terdiri daripada 36 sekolah rendah dan lima sekolah menengah di bahagian itu terpaksa ditutup, sekali gus menjejaskan sesi pembelajaran 9,828 pelajarnya.


Menurut pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, bacaan IPU melebihi 300 yang dicatatkan di Sri Aman hari ini merupakan rekod tertinggi di Malaysia pada tahun ini.

“Keadaan jerebu di Sri Aman semakin buruk mencatatkan bacaan bahaya iaitu 367 setakat jam 10 pagi tadi dan masih sama pada jam 12 tengahari ini rekod ini merupakan rekod paling tinggi di Malaysia pada tahun ini.

“Berikutan ini juga semua sekolah di Sri Aman sebanyak 41 buah sekolah ditutup pada hari ini dan dinasihatkan kepada semua orang awam kurangkan aktiviti di luar, banyakkan minum air dan sekiranya hendak keluar dari rumah pakai topeng muka dan jangan melakukan aktiviti pembakaran terbuka," katanya lagi.