Kesan daripada jerebu yang melanda negara telah mengakibatkan penyakit asma dan konjunktivitis mencatatkan peningkatan kes di seluruh negara.

Kes penyakit asma mencatatkan peningkatan sebanyak 3.5 peratus daripada 1,222 kepada 1,265 kes sepanjang tempoh 15 hingga 21 September berbanding minggu sebelumnya.

Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sepanjang tempoh itu juga, penyakit konjunktivitis meningkat kepada 403 kes atau 51.4 peratus daripada 266 kes.

"Bagaimanapun, penyakit jangkitan saluran pernafasan (URTI) menunjukkan penurunan sebanyak 9.6 peratus (8,258 kepada 7,465 kes), pada tempoh yang sama," kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan sentiasa memantau penyakit berkaitan jerebu di 33 Fasiliti Sentinel Jerebu dan menasihatkan orang ramai terutama golongan berisiko tinggi dan mereka yang mengalami penyakit seperti asma, bronkitis, radang paru-paru, sakit jantung dan alahan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu.

Dr Noor Hisham juga menyarankan orang ramai boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu dengan melayari laman sesawang kementerian http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183.

Selain itu, bagi mengikuti perkembangan semasa jerebu dan menyemak bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di lokaliti masing-masing orang ramai juga boleh melayari portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) di http://apims.doe.gov.my/ dan mengikuti saranan pihak berwajib bagi setiap julat bacaan IPU.

Sehingga 8 pagi ini hanya satu lokasi di negara ini mencatat bacaan kualiti udara sangat tidak sihat iaitu 213 di Johan Setia, Klang, Selangor.

Sementara di Sri Aman, Sarawak, yang sebelum ini terjejas teruk dengan jerebu terus menunjukkan penurunan kepada bacaan IPU sejak semalam dan kini merekodkan bacaan 134 (tidak sihat) berbanding 203 (sangat tidak sihat) semalam.