Pesawat Bombardier CL- 415 milik Maritim Malaysia yang tiba di Kuching pada pagi ini akan memulakan operasi bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memadam kebakaran tanah gambut di daerah Sri Aman, Sarawak.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan, pesawat Bombardier CL-415 bersama kru telah berlepas dari Miri pada lebih kurang jam 9.15 pagi tadi.



Beliau yang juga Komander Operasi bagi pengoperasian pesawat Bombardier CL-415 memberitahu, pesawat ini hanya akan memulakan operasi pemadaman kebakaran sebaik sahaja selesai taklimat operasi yang akan diadakan di Unit Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Kami dimaklumkan keluasan kawasan kebakaran adalah seluas 202 hektar namun setakat ini, hanya 51 hektar kawasan kebakaran yang berjaya dipadamkan,” jelas beliau.


Beliau juga meminta agar orang awam untuk tidak memburukkan lagi keadaan dengan membuat pembakaran terbuka. Operasi ini akan dilaksanakan sehingga keseluruhan kawasan kebakaran berjaya dipadamkan.