Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Jerebu rentas sempadan dijangka tidak berlaku dalam masa terdekat - MetMalaysia

Jerebu rentas sempadan dijangka tidak berlaku dalam masa terdekat - MetMalaysia
Pada masa ini, keadaan kualiti udara di seluruh negara dalam keadaan biasa. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jerebu rentas sempadan dari arah timur dan tengah Kalimantan, Indonesia dijangka tidak melanda negara dalam masa terdekat, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Pemantauan berdasarkan Asean Specialized Meteorological Centre (ASMC) semalam menunjukkan terdapat tiga titik panas dikesan di Kalimantan dan 12 lagi di Sumatera, Indonesia.
"Berdasarkan kepada bilangan dan kedudukan titik panas serta arah tiupan angin itu, menunjukkan bahawa tiada pencemaran jerebu rentas sempadan sedang dan dijangka berlaku dalam masa terdekat.

"Pada masa ini, keadaan kualiti udara di seluruh negara dalam keadaan biasa dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicerap Jabatan Alam Sekitar menunjukkan kategori baik dan sederhana," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, MetMalaysia memberitahu keadaan itu tidak bermakna jerebu tidak akan melanda negara kerana biasanya kejadian jerebu rentas sempadan masih boleh melanda pada Ogos dan September sekiranya kebakaran terbuka tidak terkawal.

MetMalaysia juga akan memantau keadaan itu secara berterusan dan melaporkan dari semasa ke semasa jika terdapat sebarang kejadian signifikan dan dalam masa sama orang ramai dinasihatkan meminum air secukupnya bagi mencegah dehidrasi selain mengelakkan pembakaran terbuka pada setiap masa.

Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi dan laman media sosial MetMalaysia serta aplikasi myCuaca manakala maklumat IPU boleh didapati dalam laman www.apims.doe.gov.my.

-- BERNAMA


Tag: jerebu rentas sempadan, Kalimantan, Indonesia, Jabatan Meteorologi Malaysia, MetMalaysia, Asean Specialized Meteorological Centre, ASMC, titik panas, Sumatera, Indeks Pencemaran Udara



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.