Pelan jangka masa panjang amat diperlukan dalam memastikan isu jerebu rentas sempadan dapat ditangani sebaiknya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pelan itu bagaimanapun hanya dapat direalisasikan menerusi kerjasama dengan semua negara-negara serantau.

“Kita sentiasa mahu ada pelan jangka masa panjang tapi ia memerlukan kerjasama daripada negara-negara lain.

“Selagi tiada kerjasama, mustahil untuk kita mempunyai pelan jangka masa panjang. Kerjasama dengan Indonesia dan negara-negara lain juga,” katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.

Beliau sebelum itu menyampaikan hadiah pada Kejohanan ‘The Putrajaya Boat Race 2019’ yang berlangsung di Kelab Tasik Putrajaya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri mengakui, beliau tidak mengirim surat kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo berhubung isu jerebu rentas sempadan yang melanda Malaysia.

“Tak ada lagi (mengutus surat kepada Indonesia), tak tulis apa pun. Kita tengok kepada bukti kerana mereka (Indonesia) mendakwa jerebu berpunca daripada Malaysia. Jadi perlu untuk kita selidik sama ada benar ia berpunca dari Malaysia atau tidak,” jelas beliau lagi.

Dr Mahathir yang turut menjalankan aktiviti luar iaitu menunggang kuda pada pagi Ahad mengakui, tahap jerebu yang melanda negara masih lagi terkawal namun memerlukan pendekatan pencegahan penyakit seperti memakai topeng muka.

BACA: Indonesia kata jerebu berasal dari Sarawak