Jerebu semakin teruk melanda Sarawak apabila banyak kawasan mencatat peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dengan Kuching menjadi satu-satunya kawasan mencatat IPU sangat tidak sihat iaitu 210 setakat pukul 10.30 pagi ini.

Kualiti udara di Sarawak masih terjejas dengan jumlah kawasan yang mencatat IPU tidak sihat meningkat sekali ganda berbanding hanya tiga kawasan pada Khamis.

Selain Kuching, kawasan lain yang mencatat IPU tidak sihat ialah Sri Aman (186), Samarahan (194), Sarikei (137), Miri (143), Mukah (104), SK Baram 2 (112)

Manakala Stesen Pengawasan Udara Automatik mencatat bacaan sederhana iaitu, Bintulu (89), Samalaju (84), Kapit (61), Limbang (71) dan Sibu (98)

Keadaan jerebu yang semakin serius dipercayai berpunca daripada pergerakan angin dari wilayah Kalimantan Barat, Indonesia.

Berdasarkan maklumat Jabatan Alam Sekitar (JAS), terdapat empat tompok panas dikesan di Sarawak, iaitu di Betong, Serian, Bintulu dan Miri.

Pada Jumaat, Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah mengesahkan Malaysia akan menghantar nota diplomatik kepada Kerajaan Indonesia supaya segera memadamkan kebakaran bagi memastikan kesan jerebu tidak menjadi lebih teruk.

Katanya, Malaysia menyuarakan kebimbangan selepas mengambil kira sejumlah 1,393 tompok panas dikesan di Indonesia dengan 1,087 daripadanya berada di Kalimantan.

Pada Jumaat, sembilan stesen mencatatkan bacaan IPU tidak sihat di seluruh Malaysia, termasuk tujuh di Sarawak.

Stesen-stesen tersebut ialah Kuching, Sri Aman, Samarahan, Sibu, Sarikei, Miri dan Mukah.

Sementara itu, di Sabah, bacaan IPU sederhana setakat jam 9 pagi ini.

Menurut laman sesawang JAS, IPU Politeknik Kota Kinabalu ialah 72, diikuti Kimanis (70), Kota Kinabalu (67), Keningau (66), Sandakan (53) dan Tawau (52).

Pulau Labuan pula mencatat IPU 71.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).