Sekolah di beberapa negeri dan kawasan yang ditutup hari ini akibat jerebu akan dibuka seperti biasa esok susulan kualiti udara bertambah baik dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menurun.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan hari ini bagaimanapun mengingatkan semua jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah di seluruh negara agar terus memantau maklumat bacaan IPU yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, jika bacaan IPU berubah kepada keadaan tidak sihat pada paras bacaan 101-200 atau sangat tidak sihat pada bacaan 201-300, pihak tersebut boleh mengambil tindakan di peringkat masing-masing.

Tindakan boleh dibuat berdasarkan langkah-langkah yang dikeluarkan KPM bagi menjamin kesihatan dan keselamatan pelajar di sekolah yang berada dalam kawasan berjerebu yang dianggap kritikal.

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, KPM turut mengarahkan penutupan semua sekolah di negeri Johor dan Melaka esok susulan keadaan jerebu yang menunjukkan IPU tidak sihat dan sangat tidak sihat pada petang Isnin.

Justeru pihak Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah untuk memaklumkan sekolah-sekolah dan ibu bapa yang terbabit berkaitan penutupan itu.

Penutupan itu melibatkan sejumlah 1,178 buah sekolah dan 618,326 orang murid di Johor serta 314 buah sekolah dan 156,635 orang murid di Melaka.

Semalam KPM mengumumkan sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Pahang serta di Sri Aman, Kuching, Betong dan Samarahan di Sarawak dan Tanjung Malim di Perak, ditutup hari ini ekoran jerebu.

Sehingga pukul 3 petang tadi, bacaan IPU di kawasan terbabit telah menurun ke tahap sederhana (51-100) kecuali di Kuching dan Samarahan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat 116 dan 120.