Tutup

Jerebu: Semua 220 sekolah, IPT di Tangkak dan Muar ditutup esok

Jerebu: Semua 220 sekolah, IPT di Tangkak dan Muar ditutup esok
Aminolhuda Hassan (dua, kiri) melihat sebahagian dari 50 ribu topeng muka yang akan diedarkan kepada sekolah-sekolah sekitar Tangkak dan Muar semasa mengadakan lawatan jerebu hari ini. - Foto BERNAMA
TANGKAK: Semua 220 sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) di daerah Muar dan Tangkak, Johor diarah tutup Ahad berikutan jerebu yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Negeri, Aminolhuda Hassan berkata, penutupan itu membabitkan lebih 40,000 pelajar keseluruhannya.
Beliau berkata, jumlah itu masing-masing melibatkan 129 buah sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muar, dan 82 buah sekolah di bawah PPD Tangkak.

Manakala selebihnya membabitkan IPT termasuk pusat matrikulasi.
“Bacaan hari ini di Tangkak pada 3 petang Sabtu menunjukkan bacaan IPU 207 maknanya melebihi 200, berdasarkan trend (ia) menunjukkan peningkatan, maka sesi persekolahan akan ditutup serta merta keesokan hari iaitu 15 Sept 2019.

“Namun begitu, pengetua, guru besar dan para guru akan bertugas di sekolah seperti biasa dan membuat tugasan sewajarnya selaras surat siaran KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia),” kata Aminolhuda  ketika ditemui selepas mengagihkan 50,000 topeng muka kepada dua PPD Muar dan Tangkak pada petang Sabtu.

Mengulas lanjut katanya, arahan penutupan itu dibuat mengikut surat siaran KPM bilangan 1/2019 yang menggesa sekolah ditutup serta-merta sekiranya bacaan IPU di satu-satu kawasan melebihi 200.

Katanya, berdasarkan trend bacaan IPU di stesen Tangkak sejak 12 tengahari tadi, bacaannya kekal berada di paras sangat tidak sihat dengan bacaan 208 sehingga jam 5 petang ini.

Tambahnya, bagaimanapun pengetua, guru besar dan guru-guru perlu hadir ke sekolah dan menjalankan tugas seperti biasa.


Tag: sekolah tutup, jerebu, bacaan IPU, Indeks Pencemaran Udara, IPU melebihi 200, Aminolhuda Hassan, PPD Muar, PPD Tangkak, Muar, Tangkak, Kementerian Pendidikan Malaysia, KPM



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.