Semua sekolah, tadika dan Istitusi Pengajian Tinggi (IPT) yang ditutup ekoran bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 di tiga daerah iaitu di Pontian, Muar dan Tangkak akan dibuka esok.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Azman Adnan menerusi kenyataan kepada media hari ini.

Katanya berdasarkan status bacaan terkini IPU di lapan stesen di Johor menunjukkan trend menurun dan di bawah bacaan 200.

"Sehubungan itu semua sekolah di daerah Muar, Tangkak dan Pontian yang ditutup pada 15 September lalu (Ahad) disebabkan status udara yang Sangat Tidak Sihat akan dibuka semula seperti biasa pada esok (Selasa).

"Daerah-daerah yang status IPU masih pada paras lebih 100 aktiviti luar bilik darjah adalah ditangguhkan," katanya.

Sebelum ini, ekoran status IPU melebihi 200, lebih 300 sekolah, tadika dan IPT di Pontian, Muar dan Tangkak ditutup pada Ahad.