Tutup

Jerebu: Siasat syarikat perladangan Malaysia - Lee Lam Thye

Jerebu: Siasat syarikat perladangan Malaysia - Lee Lam Thye
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sekiranya syarikat Malaysia terbabit, maka sudah tiba masa untuk kerajaan memperkenalkan undang-undang baharu. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Siasatan menyeluruh perlu dijalankan bagi mengesahkan sama ada syarikat perladangan Malaysia gagal memadamkan kebakaran hutan di negara jiran dan oleh itu turut bertanggungjawab menyumbang kepada masalah jerebu.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sekiranya syarikat Malaysia terbabit, maka sudah tiba masa untuk kerajaan memperkenalkan undang-undang baharu untuk mendakwa mereka yang didapati bersalah menyebabkan kebakaran di hartanah mereka walaupun di luar Malaysia.
"Saban tahun rakyat Malaysia perlu menghadapi jerebu dan kesan buruknya selama lebih 20 tahun akibat kebakaran hutan dan pembakaran terbuka di dalam negara dan negara jiran.

"Masalah ini perlu diselesaikan buat selama-lamanya kerana jerebu mempunyai kesan serius terhadap kesihatan orang ramai dan ekonomi.
"Siasatan terperinci dan menyeluruh perlu dilakukan kerana pihak berkuasa perlu memastikan tindakan diambil berdasarkan fakta dan bukti kukuh dan tidak dilakukan secara terburu-buru," katanya dalam kenyataan pada Khamis. 

Lee juga berharap kerajaan akan menggunakan rangka kerja ASEAN untuk berbincang dengan negara-negara jiran mengenai kaedah terbaik menangani masalah jerebu dan bagaimana untuk mengelak ia daripada berulang pada masa hadapan.

Beliau berkata walaupun Malaysia telah menandatangani Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Rentas Sempadan (ATHP) pada Jun 2002 namun ramai pakar berpendapat kerajaan sepatutnya mengambil tindakan susulan dengan menggubal undang-undang sendiri untuk melihat sebarang kesan yang nyata.

"Selain membantu melakukan pembenihan awan di kawasan terjejas, negara-negara terlibat juga perlu mencari jalan untuk menangani kebakaran hutan gambut yang agak sukar untuk dilakukan secara konvensional.

"Dalam banyak kes, jerebu akan kembali melanda negara beberapa jam selepas operasi pembenihan awan berjaya menghasilkan hujan bagi membantu membersihkan jerebu," katanya.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan mungkin meluluskan undang-undang untuk mendakwa syarikat Malaysia di luar negara yang didapati bersalah menyebabkan kebakaran hutan dan menyumbang kepada masalah jerebu.

Media asing baru-baru ini memetik Menteri Alam Sekitar Indonesia, Siti Nurbaya Bakar sebagai berkata , bahawa terdapat empat syarikat Malaysia daripada sekurang-kurangnya 30 syarikat ladang kelapa sawit di Indonesia disita kerana didakwa bertanggungjawab terhadap kebakaran tersebut.

-- BERNAMA