PENTADBIRAN Universiti Malaya (UM) mengumumkan penangguhan sesi kuliah secara bersemuka berkuatkuasa 18 September lalu sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Keputusan itu dibuat sebagai tanda keprihatinan UM terhadap kesihatan dan kesejahteraan pelajar berikutan masalah jerebu yang melanda negara.

Menurut UM, keputusan yang dibuat ini juga selaras dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia dan dibuat setelah bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi kawasan Petaling Jaya diklasifikasikan sebagai sangat tidak sihat.

Sehubungan itu, UM juga telah meminta semua Pusat Tanggungjawab (PTj) Akademiknya untuk mengaktifkan mod pengajaran dan pembelajaran eLearning sepenuhnya dengan menggunakan Student Powered e-Collaboration Transforming UM (SPeCTRUM) agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan dalam tempoh ini.

Menurut Timbalan Naib-Canselor (Akademik & Antarabangsa) UM, Prof. Dr. Kamila Ghazali, pelaksanaan mod eLearning tersebut bukanlah satu perkara baharu malahan mod berkenaan telah mula dilaksanakan dalam Minggu eLearning sejak tahun 2017.

Pelaksanaan mod eLearning juga, kata beliau, sebagai salah satu persediaan Pengurusan Kesinambungan Perniagaan atau Business Continuation Management (BCM) UM bagi menghadapi situasi-situasi kecemasan seperti jerebu.

“Pelaksanaan SPeCTRUM bermula dengan melibatkan beberapa fakulti dan kami menambahkan jumlah fakulti yang terlibat secara berperingkat.

"Memandangkan ia adalah inovasi baharu, tindakan penambahbaikan sentiasa dilakukan dari masa ke semasa terhadap sebarang kekurangan yang ditemui dalam sistem tersebut," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Ini merupakan kali pertama UM melaksanakan mod eLearning secara menyeluruh di kesemua PTj Akademik.

Sehubungan itu, Pusat Teknologi Maklumat UM telah dan akan sentiasa mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memantau dan menangani sebarang cabaran yang mungkin berlaku, terutamanya dari segi sistem dan teknikal.

Sepanjang pelaksanaan mod eLearning, semua aktiviti pembelajaran seperti penghantaran kandungan kuliah, interaksi, penilaian dan lain-lain akan dilakukan melalui SPeCTRUM atau aplikasi atas talian lain yang bersesuaian.

Pengajaran juga boleh dilaksanakan menggunakan media atas talian seperti Youtube, Facebook Live, Skype for Business atau alat persidangan web lain yang bersesuaian.

Sebagai alternatif, pensyarah juga boleh menyampaikan pengajaran melalui aplikasi atas talian menggunakan video pra-rakaman sendiri atau video yang diperolehi daripada Youtube.

Interaksi dengan pelajar dan antara pelajar boleh dicapai melalui fungsi Sembang (Chat) dan Forum SPeCTRUM, atau untuk sesi yang lebih interaktif, menggunakan Dropbox Paper, Word Online, atau dokumen Google.

Fungsi penilaian dalam SPeCTRUM termasuk modul Penyerahan Tugasan, Kuiz, Bengkel dan Turnitin juga boleh digunakan dalam mod eLearning secara 100 peratus.

Selain daripada pelaksanaan mod eLearning, UM juga mengawasi keadaan dari masa ke semasa dan telah mengeluarkan pekeliling berkaitan prosedur menangani masalah jerebu di kampus.

Menurut Naib-Canselor, Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Hj. Hashim, Bahagian Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (OSHE), UM memantau bacaan tahap IPU bermula dengan bacaan IPU 100.

“UM telah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana sejak 18 September 2019 apabila bacaan IPU telah melebihi 200. Maklumat dan hebahan terkini mengenai jerebu hanya dikeluarkan secara rasmi oleh Bilik Gerakan Bencana Universiti Malaya.

Menyedari bahaya jerebu, saya menyarankan agar pelajar-pelajar dan staf terutamanya yang mempunyai alahan, penyakit asma, sakit jantung dan wanita hamil untuk mendapatkan nasihat pengamal perubatan berdaftar dengan segera sekiranya terdapat simptom-simptom alahan, batuk, selsema, bersin, sesak nafas, sakit mata atau lemah badan.

Mengikut Prosedur Jerebu Universiti Malaya 2019, apabila bacaan IPU melebihi 200, selain daripada pengaktifan Bilik Gerakan Bencana, semua aktiviti luar bangunan yang melibatkan pelajar perlu diberhentikan dan aktiviti-aktiviti staf yang mempunyai keperluan penting sahaja dibenarkan.

Semua aktiviti fizikal luar yang dijalankan perlu menggunakan penutup hidung dan mulut manakala semua kemudahan sukan dan rekreasi luar bangunan yang digunakan oleh warga kampus dan orang awam akan ditutup.

Apabila bacaan IPU melebihi 300, semua aktiviti-aktiviti pelajar ditangguhkan dan aktiviti-aktiviti staf di luar bangunan yang mempunyai keperluan penting sahaja dibenarkan.

UM juga akan menghentikan semua aktiviti di dalam dan luar bangunan kecuali perkhidmatan kritikal apabila bacaan IPU mencecah 400.