Tutup

Jho Low cadang guna Goldman Sachs sebagai penasihat kewangan 1MDB - Saksi

Jho Low cadang guna Goldman Sachs sebagai penasihat kewangan 1MDB - Saksi
Shahrol Azral berkata, Jho Low (gambar) mencadangkan Goldman Sachs kerana syarikat itu mempunyai pengetahuan mendalam mengenai struktur modal 1MDB. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin diberitahu bahawa cadangan bagi menggunakan khidmat Goldman Sachs Global sebagai penasihat kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata Jho Low mencadangkan Goldman Sachs kerana syarikat itu mempunyai pengetahuan mendalam mengenai struktur modal 1MDB.
Saksi kesembilan, yang juga saksi penting pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-15 perbicaraan kes Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Merujuk kepada satu salinan minit mesyuarat khas ahli lembaga pengarah (BOD) 1MDB, pada 21 Jun 2012 yang diadakan di pejabat 1MDB di Jalan Sultan Ismail, Shahrol Azral berkata ia dihadiri antaranya beliau sendiri, dua ahli lembaga pengarah 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail dan Pengarah Global Goldman Sachs, Tim Leissner.
Shahrol Azral menambah idea itu dicadangkan Jho Low pada awal 2012.

Pada 19 Dis, 2018, Malaysia memfailkan empat pertuduhan ke atas Goldman Sachs yang didakwa telah meninggalkan fakta-fakta material berhubung penjualan bon terbitan antara anak-anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investment PJS Ltd (Aabar).

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan keempat-empat kesalahan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.

-- BERNAMA