Tutup

Jho Low cuba halang penerbitan buku dedah skandal 1MDB - Clare

Jho Low cuba halang penerbitan buku dedah skandal 1MDB - Clare
CLARE: Jho Low cuba halang penerbitan buku yang mendedahkan skandal 1MDB. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pengasas dan pengarang The Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown mengakui Jho Low telah cuba menghalang penerbitan buku yang mendedahkan skandal 1MDB.

Clare yang melancarkan buku bertajuk 'The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose' pada Sabtu berkata, ahli perniagaan kontroversi itu menggunakan peguam untuk menakut-nakutkan syarikat penerbitan buku di United Kingdom, sehingga syarikat itu menarik diri dari menerbitkan buku tersebut.

"Buku ini adalah perjalanan saya mendedahkan skandal yang melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan sepanjang pengalaman ini, saya rasa seperti sedang beraksi dalam filem!
"Skandal 1MDB ini adalah satu kes rasuah yang terburuk ketika ini, saya harap kes ini dapat membuka mata kepada semua tentang risiko dan bahaya dalam skandal seperti ini.


"Apabila orang bertanya jika saya pernah rasa takut, saya jawab, saya lebih menghormati mereka yang berada di Malaysia yang buat pendedahan 1MDB kerana saya mendedahkan dalam persekitaran yang selamat di United Kingdom," kata Clare.

Clare berkata, keputusan untuk terus mendedahkan skandal 1MDB itu adalah atas dasar tanggungjawab kerana mengetahui sekatan yang wujud dalam kalangan media di Malaysia sebelum ini.