Tun Dr Mahathir Mohamad yakin Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador lebih mengetahui lokasi ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low, dalam usaha membawa pulangnya ke Malaysia bagi membantu siasatan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana Menteri berkata, beliau tidak boleh menjamin kepulangan Jho Low, namun, sekiranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberitahu dia sudah ‘dekat’ maknanya ia mungkin akan pulang tidak lama lagi.

“Saya tak boleh jamin (kepulangan Jho Low)... tapi jika Ketua Polis Negara maklumkan Jho Low semakin hampir untuk dibawa pulang, maksudnya beliau lebih tahu di mana Jho Low berada, saya tidak tahu,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.


Pada 7 Julai lalu, Abdul Hamid memberitahu, PDRM masih lagi dalam proses rundingan untuk membawa Jho Low pulang ke negara ini bagi membantu siasatan skandal 1MDB.

Katanya, rundingan dengan pihak berkuasa negara Jho Low bersembunyi itu perlu dilakukan dengan cermat dan berhati-hati bagi memastikan ia tidak tersilap langkah.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan tempoh tertentu untuk rundingan itu berjaya, namun memberi jaminan Jho Low pasti akan dibawa pulang.