Satu isu hangat baru-baru ini telah didedahkan mengenai penjualan daging anjing secara terbuka oleh sepasang suami isteri warga Vietnam kepada warga senegara mereka di Johor Bahru.

Difahamkan, pasangan terbabit turut mengiklankan penjualan "daging segar dan mentah (anjing)" mereka dengan harga RM18 sekilo melalui akaun Facebook mereka.

Salah satu entri mereka menampilkan gambar badan anjing yang terbelah dipotong sebelum dimasak, dengan salah satu tangan pasangan itu dimasukkan ke dalamnya.

Perkara itu didedahkan Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) melalui laman Facebook mereka pada 1 April.

Rata-rata netizen yang memberi komen di laman Facebook MAA ini mengutuk perbuatan pasangan ini.

"Anjing bukan diketogorikan binatang boleh dimakan... kejamnya," kata netizen Nur Farhana Liman.

"Tangkap mereka dan hantar balik! Kami tak mahu pemakan anjing ada di sini!" ujar seorang lagi netizen, Ganesh Velu.

"Kenapa mereka ni dibenarkan tinggal di Malaysia? Halau mereka keluar!!" tegas Zie Atan.

Susulan isu, pada 2 April, MAA turut mendedahkan satu lagi isu penjualan daging kucing pula oleh beberapa warga Vietnam di Selangor.

Menurut MAA, siasatan terperinci mendapati daging kucing berkenaan dijual kepada warga setempat di lokasi yang tersembunyi di Selangor.

Peniaga bagaimanapun dilaporkan telah ditahan setelah mereka didapati ‘memelihara’ terlalu banyak kucing.

Malangnya, MAA berkata tiada apa yang boleh dilakukan untuk menghentikan kegiatan seperti ini berikutan tiada undang-undang khusus untuk menghukum mereka yang makan daging anjing dan kucing serta haiwan-haiwan lain yang kebiasaannya dipelihara.

"Mendukacitakan di Malaysia tiada undang-indang khusus melarang memakan daging anjing dan kucing secara khusus melainkan mematikan haiwan tersebut dengan cara tidak berperikemanusiaan (zalim) tanpa penyembelihan betul mengikut garis panduan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia," tulis MAA.