Selepas lima hari kempen kibarkan Jalur Gemilang dilancarkan, ia masih kurang mendapat sambutan daripada orang ramai, khususnya pemilik premis swasta.

Tinjauan Astro AWANI di sekitar Ipoh, Perak mendapati hanya bangunan awam milik kerajaan meriah dengan Jalur Gemilang sedangkan ia sukar dilihat di premis swasta dan rumah kediaman.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi yang mengakui perkara itu berkata, jika rakyat boleh bersatu hati mengekang pandemik COVID-19, mengapa ia tidak diaplikasikan untuk bersama-sama mengibar Jalur Gemilang.

“Sebenarnya ia mudah untuk dilakukan, kita hanya perlu ada bendera. Tidak perlu pun untuk mempunyai bendera atau Jalur Gemilang yang begitu besar, cuma ada dan kita pamerkan di tempat yang kita berada, itupun dah cukup baik, di premis kita, di rumah kita.

“Saya sangat hargai kerjasama dan usaha daripada pihak bukan kerajaan, khususnya daripada NGO untuk memastikan kita dapat menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Mengibar Jalur Gemilang di Pangsapuri Kinta Heights, Ipoh pada Ahad.

Turut hadir Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, Penasihat Gabongan NGO Prihatin Perak, Datin Normah Hanum Ibrahim dan 23 wakil pertubuhan bukan kerajaan di sekitar Ipoh.

Menurut Nolee, beliau telah meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengadakan kerjasama dengan NGO di tempat masing-masing untuk melaksanakan program seumpama itu.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2020 di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Program Mengibar Jalur Gemilang di Pangsapuri Kinta Heights, Ipoh pada Ahad. - Astro AWANI

Program yang sama turut diadakan di peringkat negeri dengan majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri masing-masing di Perak, Johor, Selangor, Kelantan, Sabah, Pahang, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak, Terengganu, Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Perlis.

Dalam pada itu, Nolee berkata, setakat ini belum ada laporan premis kedai yang diarah tutup kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) di negeri Perak.

Bagaimanapun, beliau mengakui pihaknya ada menerima aduan daripada orang awam mengenai premis yang tidak mematuhi SOP.

“Apabila mendapat aduan itu, kita telag menghantar pasukan-pasukan penguat kuasa untuk memantau dan sekiranya perlu mereka akan membuat penguatkuasaan supaya tutup.

“Selalunya aduan tu mengenai tempat makan yang tidak terjaga, SOP tidak dipatuhi daripada segi tempat duduk dan beratur dan sosial distancing,” ujarnya.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP walaupun dalam keghairahan menyambut Hari Kemerdekaan negara.