Kementerian Luar Negeri sedia memindahkan rakyat Malaysia yang berada di Sri Lanka jika ia diperlukan, ujar Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah.

Malah perkara sama akan turut dilakukan ke atas negara bergolak seperti Sudan dan sebagainya.

Langkah memindahkan rakyat Malaysia dari negara yang mengalami bencana dan pergolakan adalah prosedur operasi standard (SOP) di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Buat masa ini, termasuklah di Sudan, oleh kerana keadaan itu seperti Sudan pun nak kata stabil pun belum stabil. Namun, seandainya perlu baik di Sri Lanka mahupun di Sudan dan di mana-mana kita akan pindahkan. Itu memang SOP di bawah Majlis Keselamatan Negara.

"Apabila kita dapat nasihat bahawa kita perlu pindahkan, kita akan lakukan. Jadi kita jangan risau memang sudah ada SOP di bawah MKN. Jika berlaku sesuatu, dan di situ ada rakyat Malaysia dan kalau perlu evacuate, kita lakukan," katanya dalam sidang media di Wisma Putra pada Isnin.

Beliau dalam pada itu berkata telah menghubungi rakan sejawatannya dari Sri Lanka untuk menyampaikan ketegasan Malaysia yang mengutuk keras tindakan serangan pengganas berkenaan.

"Kita takziah ucap kepada keluarga dan mereka yang terlibat. Kita sedia tawar apa jua bantuan," tambahnya.

Lapan letupan yang berlaku ketika sambutan Hari Easter pada Ahad menggegarkan beberapa lokasi iaitu Gereja Kochikade, Gereja Katuwapitiya, Shangri-La Hotel, Cinnamon Grand Hotel dan Gereja St Barnabas di Batticaloa di Colombo pada 8.30 pagi waktu tempatan.

Polis Sri Lanka pada Isnin mengumumkan jumlah mangsa yang terkorban meningkat kepada 290 dengan 500 yang lain mengalami kecederaan susulan insiden letupan di negara itu.