Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) 'menjemput' baki sebanyak 414 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara untuk membuat ujian saringan COVID-19 kali kedua.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu akan dilakukan jika mereka masih berdegil untuk melakukannya sendiri.

"Saya harap mereka pergi dengan segera ke klinik berdekatan atau hubungi Kementerian Kesihatan untuk melakukan saringan kesihatan kali kedua untuk mengesahkan sama ada mereka positif atau negatif.

"Kalau mereka masih lagi berdegil, mesyuarat telah bersetuju untuk meminta pihak polis akan datang ke rumah mereka untuk bantu bawa ke klinik. Jadi kalau selesa pergi sendiri, tidak perlu tunggu polis bawa mereka ke klinik kesihatan," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Ismail Sabri minggu lalu memaklumkan, polis akan memburu lebih 1,400 rakyat Malaysia yang menjalani kuarantin 14 hari di rumah selepas pulang dari luar negara tetapi masih belum menjalani ujian saringan COVID-19 kali kedua hingga kini.