Tutup

Jika tiada jangkitan baharu, Kelantan bebas wabak H5N1 - Shabery

Jika tiada jangkitan baharu, Kelantan bebas wabak H5N1 - Shabery
SHABERY: Kalau keadaan ini berterusan, kita boleh isytiharkan keadaan pulih sepenuhnya.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengesahkan tiada jangkitan baharu wabak selesema burung H5N1 di Kelantan setakat hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata jika ia berterusan, pihaknya akan mengumumkan Kelantan bebas wabak H5N1 dalam masa terdekat.

"Perlu diambil perhatian dalam isu berkaitan penyakit selsema burung atau H5N1 di Kelantan, kementerian mendapati tiada penemuan baharu.

"Kalau keadaan ini berterusan, kita boleh isytiharkan keadaan pulih sepenuhnya terutama dalam radius 10 kilometer di kawasan berkenaan di Kelantan. Ini kerana kita menganggap kes selsema burung di Kelantan, ialah isu nasional," katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.
Jelasnya lagi, menerusi laporan awal yang diterima, ayam laga dilihat sebagai punca penyebaran wabak tersebut.

Beliau sekali gus menafikan laporan kononnya wabak tersebut merebak di Kelantan disebabkan oleh penghijrahan burung dari negara China.
"Jadi ayam laga ini sama ada yang diambil daripada negara jiran. Ini kerana strain yang kita perolehi adalah 'Vietnam like'.

"Kemungkinan ayam laga ini datang dan diseludup dari negara jiran ataupun ayam kita (tempatan) pergi ke sempadan negara jiran.

"Ia membawa balik virus selsema tersebut menerusi kajian awal dibuat dan ia burung hijrah. Tapi yang penting kita nak pastikan penularan tidak berlaku," katanya.

Justeru, pihaknya akan mengeluarkan laporan penuh berkenaan penyebaran wabak tersebut dalam masa terdekat.