Program Kebun Komuniti yang diperkenalkan di bandar bukan sahaja mendidik amalan berkebun secara berkesan tetapi ia juga dilihat mampu meningkatkan semangat kejiranan di kalangan komuniti setempat.

Amalan berkebun secara komuniti yang dilaksanakan di Pangsapuri Garnet Puchong Indah misalnya, turut membuka peluang kepada golongan muda untuk mempelajari kaedah berkebun seterusnya menyokong usaha kerajaan untuk menghijaukan kawasan di sekitarnya.

Kawasan penempatan ini mempunyai 70 tapak kebun komuniti yang berjaya dibangunkan bagi penanaman pelbagai jenis sayur-sayuran termasuk terung, bendi, bayam dan cili.

Menurut penghuni pangsapuri ini, Intan Norfida, konsep kebun komuniti dapat menjimatkan kos perbelanjaan lebih RM50 seminggu dengan hanya berkongsi hasil tanaman antara rakan jiran.

"Bila ada kebun ini, saya mengenali beberapa penghuni dari blok pangsapuri ini. Kita akan berkumpul di kebun ini yang sebelum ini saya tidak pernah kenal mereka. Selain itu saya tidak pernah membeli beberapa sayur-sayuran seperti cili kerana sudah mencukupi untuk dimakan sekeluarga dan boleh berkongsi bersama-sama kawan," katanya.

Seorang lagi penghuni pangsapuri ini, Mohd. Rezal Hasshim berkata program yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu menjadi medan penduduk untuk berinteraksi serta berjumpa sekurang-kurangnya sebulan sekali ketika berkebun.

"Penduduk di sini semakin akrab semakin mengenali masing-masing. Kita pun maklum bahawa kawasan bandar macam ini kita hanya peduli diri sendiri namun bagi kami di sini dikatakan setiap minggu mungkin saya menipu, tetapi sebulan sekali kami akan ada di sini."

"Masing-masing akan berkumpul di sini dengan anak-anak dan yang penting sekali anak-anak kita boleh mempelajari cara dan teknik macam mana hasil tanaman sayur ini dihasilkan", katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Datuk Norhisham Ahmad Dahlan berkata program kebun komuniti diperkenalkan bagi menyokong usaha bandar hijau menjelang 2030.

Tambahnya lagi, MPSJ turut menyediakan tanah lapang dan benih pokok bagi menggalakkan masyarakat setempat untuk menyertai program komuniti kebun ini.

"Jadi kita menggalakkan bukan setakat Jawatankuasa Kebun Komuniti, kita bagi contoh kepada semua kawasan di Subang Jaya supaya mereka mempunyai makanan mencukupi seperti makanan cili api, terung, bendi. Mereka tidak payah lagi membeli dan ini boleh mengurangkan kos pembelian sayur-sayuran. Saya berpendapat jika mereka boleh buat usaha ini, ia boleh mengurangkan 50 peratus daripada membeli dari luar," katanya.


Setakat ini, terdapat 343 program kebun komuniti yang dikawal selia dan dilaksanakan di kawasan MPSJ.