Tutup

Jitukan perpaduan, tekankan sikap saling menghormati - Muhyiddin

Jitukan perpaduan, tekankan sikap saling menghormati - Muhyiddin
MUHYIDDIN: Yang ini (sememangnya) telah kita jayakan sejak Malaysia tertubuh puluhan tahun dulu namun cabaran masa depan adalah lebih besar lagi. - Gambar fail/BERNAMA
WASHINGTON DC: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa rakyat Malaysia memberi penekanan kepada aspek memperkukuh semangat perpaduan dan sikap saling menghormati dalam berdepan cabaran mendatang yang lebih besar.

Menteri Dalam Negeri itu, yang tiba di sini pada Ahad untuk lawatan kerja ke ibu negara Amerika Syarikat ini sehingga Rabu sebelum meneruskannya di New York, turut melahirkan harapan agar semangat bekerjasama dan saling bantu-membantu antara semua rakyat terus dipertingkat.
Berkongsi mesejnya sempena Hari Malaysia 2019 kepada Bernama, beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia menegaskan bahawa masyarakat perlu melihat ke hadapan berhubung apa yang mereka harus lakukan secara bersama untuk memajukan negara dalam semua bidang.

BACA: Lawatan Muhyiddin ke Amerika Syarikat tingkat hubungan keselamatan

"Yang ini (sememangnya) telah kita jayakan sejak Malaysia tertubuh puluhan tahun dulu namun cabaran masa depan adalah lebih besar lagi.
"Maka perkara yang harus kita tekankan ialah soal kerjasama, semangat perpaduan lebih jitu, saling hormat menghormati antara kaum dan bangsa di Malaysia serta menjalin hubungan lebih erat untuk membina negara Malaysia yang lebih berjaya lagi," kata Muhyiddin.

Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan dijadual berlangsung di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak pada Isnin malam dengan kehadiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan tetamu lain dan bakal dimeriahkan dengan penyertaan masyarakat pelbagai kaum.

-- BERNAMA


Tag: Muhyiddin Yassin, lawatan kerja, Amerika Syarikat, hubungan Malaysia AS, Menteri Dalam Negeri, Hari Malaysia 2019, semangat perpaduan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.