Tiga individu termasuk seorang pengasas sebuah syarikat pelaburan yang dikaitkan dengan skim pelaburan kontroversi JJ Poor to Rich (JJPTR) dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam selepas permohonan untuk lanjutan reman mereka ditolak hari ini.

Majistret Diane Ningrad Nor Azhar membenarkan tiga lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan polis.

Menurut peguam yang mewakili suspek, G.Jaya Pram, pihaknya meminta mahkamah menolak permohonan reman terhadap anak guamnya atas alasan mereka telah direman selama enam hari di Mahkamah Majistret Klang sebelum ini dan memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan polis.

Terdahulu, suspek berusia antara 28 hingga 29 tahun itu dibawa ke mahkamah kira -kira jam 11 pagi bagi membolehkan ketiga-tiga suspek direman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Pada 19 Mei lepas, polis menahan ketiga tiga suspek dalam serbuan di sebuah lokasi di Petaling Jaya dan merampas sebuah Honda Accord, lima unit telefon bimbit, pelbagai dokumen berkaitan skim pelaburan, buku cek, 11 keping kad debit dan kredit pelbagai bank dan wang tunai RM20,936.

Sebelum itu pada 12 Mei, seramai 16 wanita dan tiga lelaki berusia antara 23 hingga 40 tahun turut ditahan dalam serbuan polis di lapan lokasi sekitar Pulau Pinang.

Syarikat terbabit didakwa menawarkan skim pelaburan berasaskan perniagaan pertukaran mata wang asing (Forex).